Kes Kematian Syed Danial 4 Tahun Lalu, Bekas Pekerja IT Didapati Bersalah

5 Dec 2023 • 2:08 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Empat tahun lalu, kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir menjadi satu kes yang menjadi bualan ramai, kematian tersebut difahamkan berpunca dari pergaduhan kecil selepas dia mengalami kemalangan dengan seorang lelaki.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati seorang bekas pekerja bidang IT, Yew Wei Liang bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu.

Difahamkan, hakim, Julia Ibrahim memberikan keputusan tersebut selapas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Menurut laporan Astro AWANI, hakim berkata, beban untuk membuktikan hak pertahanan diri daripada ancaman kecederaan tubuh, terletak pada bahu tertuduh, mengikut Seksyen 105 Akta Keterangan 1950.

“Wujud hak untuk mempertahankan harta tertuduh daripada perbuatan khianat oleh mangsa iaitu merosakkan kereta Innova-nya, menggunakan kayu bola lisut.

Bagaimanapun, hak pertahanan harta ini tidak dilanjutkan sehingga menyebabkan kematian simati,” katanya.

Julia berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah bagi kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Sebagai info, pada 22 Ogos 2019 lalu, Wei Ling didakwa membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir, yang juga pengurus bank di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Prosiding hujahan untuk sabitan hukuman, ditangguhkan ke jam 2.30 petang ini.

Sumber: Astro AWANI

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.