
Meskipun telah sebulan berlalu, kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, masih hangat lagi hangat diperkatakan ramai selain pelbagai dakwaan serta spekulasi yang timbul.
Ia susulan dakwaan kematian arwah yang berusia 13 tahun di sebuah asrama perempuan di Sekolah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut, Sabah pada 17 Julai lalu mempunyai kaitan dengan kes buli.
Sehingga kini, pihak polis masih menjalankan siasatan selain menunggu keputusan bedah siasat Allahyarhamah yang dipercayai mengambil masa dalam tempoh dua bulan.
Baca Artikel Berkaitan: Keluarga Zara Qairina Didakwa Bakal Saman Doktor Berhubung Kenyataan ‘Memang Terjun Sendiri’
Siasatan polis dapati kematian Zara tiada kaitan dengan cucu TYT dan isteri menteri
Terbaharu, siasatan polis terhadap kematian Zara mendapati ia tidak mempunyai kaitan dengan cucu Yang Dipertua Negeri Sabah atau kedudukan pengetua sekolah selaku isteri menteri seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berada di dalam Dewan Rakyat hari ini (18 Ogos) berkata, ia adalah berdasarkan hasil siasatan membabitkan 195 saksi yang dipanggil sebelum ini.
Zara tidak maut akibat didera dalam mesin basuh – Menteri KDN
Menurutnya, hasil siasatan juga tidak menemui bahawa mangsa maut akibat didera di dalam mesin basuh.
“Siasatan kita menyeluruh dan terperinci dan untuk kali pertama isu ini dibangkitkan oleh ahli Parlimen pada 30 Julai lalu pada waktu itu sudah timbul beberapa kenyataan seperti yang terbabit adalah cucu kepada TYT.
“Pengetua adalah isteri menteri dan cara mati didera di mesin basuh…keadaan itu sudah jadi toksik seperti itu sekali.
“Namun siasatan polis tidak menemui semua itu. Tiada sama sekali hasil keterangan 195 saksi. Tidak ada sama sekali,” katanya dipetik Harian Metro.
Tegas beliau, keadilan dan kebenaran perlu berdasarkan fakta serta proses undang-undang yang sah, bukannya fakta separuh masak, tuduhan rambang atau sentimen emosi semata-mata.
Dua kali ibu Zara tolak bedah siasat ketika ditanya polis
Menurutnya lagi, pihak polis juga sebelum ini telah bertanya sebanyak dua kali kepada ibu Zara berhubung pelaksanaan post-mortem terhadap mangsa ketika berada di hospital pada 17 Julai lalu.
Katanya, namun pendirian ibu mangsa, Noraidah Lamat masih kekal untuk tidak mahu proses bedah siasat dilakukan bagi menyegerakan pengebumian.
“Pegawai penyiasat berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan mengenai keperluan untuk melakukan proses itu. Ibu mangsa ketika itu menyatakan dia hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup derita.
“Di sini pihak polis dan pengarah siasatan mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan. Pegawai polis pula bila minta maklumkan kepada ibu. Ibu kata dia tak nak buat. Dia nak segerakan pengebumian dan doktor yang bertugas pada jam 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibu dan ibu kekal dengan pendirian.”
Menteri KDN, Saifuddin Nasution Ismail
Terdahulu, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud menafikan sekerasnya dakwaan yang cuba mengaitkan isterinya, Datin Rosnih Nasir dengan kemalangan tragik melibatkan Zara Qairina.
Dia yang merupakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Dewan Rakyat sebagai tuduhan tidak berasas serta tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Zara Qairina: Mustapha Sakmud Nafi Fitnah Kaitkan Isteri
Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina: Hasil Bedah Siasat 2 Bulan Terlalu Lama – Ketua UMNO Bahagian Subang
Source:

