Kes khalwat Nik Nazmi bukan ‘frame’

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 2:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kes khalwat Nik Nazmi bukan ‘frame’

SHAH ALAM – Dakwaan Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi mangsa perangkap atau ‘frame’ dalam kes khalwat yang membawa kepada penahanannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah tidak benar.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, JAIS menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima dan bertindak mengikut peruntukan undang-undang bukannya memanipulasi keadaan untuk mengenakan individu tertentu.

Menurut beliau, setiap aduan perlu disiasat secara menyeluruh tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terbabit.

“Bila dikatakan seolah-olah jabatan agama terlibat dalam manipulasi dan sebagainya, ini tidak benar sama sekali.

“Kami juga ada tanggungjawab mengikut undang-undang apabila aduan dibuat, kami perlu melakukan siasatan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai perlu memberikan ruang kepada JAIS untuk melengkapkan siasatan sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung kes berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak dengan tindakan pendakwaan hanya akan dipertimbangkan sekiranya siasatan menemukan keterangan yang jelas dan mencukupi.

“Jadi, percayalah JAIS yang akan melakukan sebaik mungkin siasatan dan kalau ada keterangan jelas akan buat pertuduhan di mahkamah,” tegasnya.

Salehuddin berkata, tindakan memaklumkan penahanan itu kepada masyarakat bertujuan menjelaskan bahawa pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima, sekali gus mengelakkan persoalan mengenai pelaksanaan undang-undang syariah.

“Kita mengambil tindakan berdasarkan undang-undang dan sekiranya dilakukan tanpa peraturan dan sebagainya, kita juga akan ditohmah,” jelasnya.

Mengulas status dua individu yang ditahan dalam kes itu, beliau berkata, kedua-duanya dibebaskan selepas keterangan direkodkan dan dilepaskan dengan jaminan.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Nik Nazmi mengesahkan dirinya antara individu yang ditahan JAIS berhubung kes berdua-duaan dengan seorang wanita bukan mahram di sebuah tempat tertutup di daerah ini kelmarin. – KOSMO! ONLINE

The post Kes khalwat Nik Nazmi bukan ‘frame’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved