JOHOR BAHRU - Tentera Darat Malaysia (TDM) sudah melaksanakan siasatan dalaman berhubung kes seorang anggota komando muda yang cedera parah di Kem Iskandar, Mersing pada lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil siasatan itu akan dimajukan dalam masa terdekat.
"Tindakan sewajarnya terhadap anggota yang terlibat akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan.
"Kementerian juga memaklumkan bahawa keadaan anggota yang terjejas terus dipantau rapi. Mangsa kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang menjalani rawatan pemulihan di bawah pemantauan pihak perubatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan mengambil maklum sidang media oleh Lawyers for Liberty (LFL) hari ini berhubung insiden tersebut.
Katanya, dimaklumkan bahawa kes itu kini dalam perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut sewajarnya, melibatkan dua anggota yang dipercayai terlibat.
Tegasnya, Kementerian Pertahanan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.
"Kementerian Pertahanan komited memastikan kes ini ditangani secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang," katanya.
Lawyers for Liberty (LFL) menerusi wakilnya, N Surendran dalam sidang media pada Khamis, menggesa siasatan menyeluruh dituntut susulan insiden seorang anggota Rejimen 22 Komando di Kem Sri Iskandar, Mersing yang parah, dipercayai selepas dikenakan hukuman dalam kem tentera.
Jelasnya, mangsa kini masih tidak sedarkan diri serta bergantung sepenuhnya kepada tiub untuk bantuan pernafasan dan nutrisi.






