
BUKIT MERTAJAM : “Kes (mahkamah) yang saya hadapi ini sudah setahun. Jadi, saya tunggu setahun, tetapi, masih tidak nampak sinar di hujung terowong. Oleh itu, saya percaya ia tidak akan mengganggu persiapan saya.”
Itu kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika ditanya sama ada kes mahkamah iaitu pertuduhan yang dihadapinya susulan kenyataan kontroversi berhubung isu Jalur Gemilang tahun lepas boleh menjejaskan persiapan beliau bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November depan.
Menurut Muhamad Akmal, kes yang telah berlarutan untuk tempoh yang lama itu juga sebenarnya secara tidak langsung telah menyebabkan beliau kini lebih bersedia khususnya dari segi mental untuk melalui segala proses perundangan yang ditetapkan.
“Sama ada kes ini diteruskan atau tidak, kita akan terus menghadapinya. Saya menghormati keputusan mahkamah dan akan melalui segala proses ini dengan baik serta penuh disiplin.
“Harap-harapnya, dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang, kes ini dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Ogos tahun lepas, Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung isu Jalur Gemilang.
Terbaharu, permohonan representasi berhubung kes itu telah ditolak oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang hari ini dan mahkamah turut menetapkan 4 Januari tahun depan untuk keputusan representasi kedua yang dikemukakan pihak pembelaan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluangnya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada PRN nanti, Muhamad Akmal berkata, beliau masih mendapat kepercayaan daripada UMNO bagi tujuan itu.
“Alhamdulillah, parti sudah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mempertahankan DUN Merlimau. Tetapi, selagi belum penamaan calon, apa-apa sahaja boleh berlaku. Jika ada orang yang lebih baik dan boleh membantu memenangi parti, saya rela tidak bertanding,” katanya.
Tambah Muhamad Akmal, beliau juga sudah berbincang secara terbuka dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara tersebut kerana baginya, pilihan raya bukan soal beliau seorang, tetapi, lebih kepada bagaimana untuk menang dan terus berkhidmat kepada rakyat.-UTUSAN
The post Kes mahkamah tak ganggu persiapan saya hadapi PRN – Akmal appeared first on Utusan Malaysia.





