Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, mengambil keputusan untuk melelong motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya bagi mengumpul wang selepas Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkannya membayar RM300,000 susulan kekalahan dalam kes saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Akmal berkata, dia menghormati keputusan mahkamah dan bersedia memikul tanggungjawab menjelaskan bayaran tersebut menggunakan hasil usahanya sendiri tanpa membuka tabung sumbangan awam.
Advertisement“RM300,000 Itu Sangat Besar Bagi Diri Saya”
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengakui jumlah yang perlu dibayar bukan sedikit, malah simpanan dimilikinya ketika ini masih belum mencukupi.

Menurut Akmal, dia tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual bagi mencukupkan jumlah berkenaan.
Bagaimanapun, kedua-dua aset yang ingin dilelong itu sudah habis dibayar dan boleh dijual untuk mendapatkan wang.
“Lebih Berat Hati Jika Terpaksa Menyusahkan Orang Lain”
Akmal mengakui keputusan melepaskan dua aset kesayangannya bukan sesuatu yang mudah kerana masing-masing mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Beliau turut menjelaskan bahawa tidak mahu membebankan orang ramai yang mempunyai komitmen serta tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.
Sehubungan itu, Akmal mempelawa individu yang berminat untuk membuat bidaan terhadap motosikal dan ikan tilapia ternakannya.
Mahkamah Perintah Bayar Ganti Rugi RM250,000, Kos RM50,000
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Akmal membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa Kok berhubung saman fitnah yang berpunca daripada kenyataan menerusi video di media sosial pada September 2024.
Hakim Isa Aziz Ibrahim dalam penghakimannya mendapati kenyataan yang dibuat Akmal membawa maksud memfitnah Teresa dan melampaui batas kritikan terhadap dasar awam.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang Akmal daripada mengulangi kenyataan berunsur fitnah terhadap Teresa.
Kes Bermula Daripada Pertikaian Isu Pensijilan Halal
Untuk rekod, pertikaian antara kedua-dua pemimpin politik itu tercetus pada September 2024 susulan kenyataan Teresa mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal kepada restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol.
Teresa ketika itu menyuarakan kebimbangan bahawa cadangan berkenaan boleh membebankan perniagaan.
Akmal kemudian mengkritik Teresa menerusi kenyataan yang antara lain menggunakan panggilan “nyonya tua” serta menyentuh mengenai cadangan logo bukan halal.
Pada 11 September 2024, Teresa mengeluarkan surat tuntutan terhadap Akmal dengan menuntut ganti rugi RM25 juta, penarikan balik kenyataan, permohonan maaf terbuka serta aku janji supaya kenyataan serupa tidak diulangi.
Akmal ketika itu menyatakan kesediaannya untuk berdepan tindakan berkenaan di mahkamah.
Akmal Hargai Sokongan Dan Doa Orang Ramai
Dalam pada itu, Akmal turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan, doa serta kata-kata semangat selepas keputusan mahkamah diumumkan.
“Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya. Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan,” katanya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
BACA: Ayam Masih Dilemaskan Sebelum Disembelih, JAKIM Maklum Premis Bukan Pemegang Sijil Halal Malaysia
The post Akmal Saleh Buka Bidaan Motosikal Honda X-ADV Dan Kolam Ikan Talapia, Nak Bayar Saman RM300K Teresa Kok first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





