
SEBERANG PERAI – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini tidak sesekali menjejaskan persiapannya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, nanti.
Muhamad Akmal berkata, kes berkenaan yang berlarutan lebih setahun membuatkan dirinya sudah bersedia dari segi mental untuk melalui segala proses perundangan yang ditetapkan.
“Kes ini sudah setahun, jadi saya sudah menunggu selama setahun dan masih belum nampak sinar di hujung terowong.
“Bagi saya, ia tidak mengganggu lagi kerana kita sudah bersedia dari segi mental selama setahun. Sama ada kes ini diteruskan atau tidak, kita akan terus menghadapinya.
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan akan melalui segala proses ini dengan baik serta penuh disiplin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding, tadi.
Mengulas mengenai peluang untuknya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, beliau berkata, parti telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Namun, beliau menegaskan sebarang keputusan muktamad hanya dapat diketahui selepas proses penamaan calon nanti.
“Alhamdulillah, parti sudah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mempertahankan DUN Merlimau, tetapi selagi belum penamaan calon, apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Jika ada orang yang lebih baik dan boleh membantu memenangi parti, saya rela untuk tidak bertanding,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan sudah berbincang secara terbuka dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai kesediaannya untuk tidak bertanding sekiranya kedudukannya menjadi beban kepada parti dalam usaha memenangi pilihan raya akan datang.
“Sebab bagi saya, pilihan raya ini bukan soal Akmal Saleh, pilihan raya ini soal bagaimana kita nak menang dan bagaimana kita nak berkhidmat dengan rakyat,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Kes mahkamah tak jejas persiapan PRN Melaka’ – Dr. Akmal appeared first on Kosmo Online.






