
TEMPOH cuti rehat saingan untuk laluan aksi antarabangsa kali ini digegarkan dengan isu melibatkan Manchester City yang didapati bersalah 114 daripada 115 pertuduhan pelanggaran peraturan kewangan.
Keputusan tersebut mencetuskan kegemparan apabila banyak pihak mula meneka hukuman-hukuman yang bakal diterima City termasuk denda, pemotongan mata, penyingkiran ke divisyen lebih rendah, malah gelaran yang dimenangi mereka juga mungkin dilucutkan.
Mereka telah didakwa melanggar Peraturan Kewangan Adil (FFP) Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) serta Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR) di Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula 2009 hingga 2018.
Kes melibatkan City ini berpunca daripada pendedahan yang dilakukan oleh sebuah akhbar Jerman, Der Spiegel yang menerbitkan dokumen sulit kewangan kelab itu pada November 2018, sekali gus mendedahkan kecurangan yang dilakukan kelab yang dimiliki Abu Dhabi United Group.
City kemudian telah didakwa oleh pentadbir EPL setelah gagal memberikan maklumat kewangan yang tepat mengenai sumber kewangan dan jumlah sebenar yang dibayar kepada beberapa kakitangan terpenting mereka.
Pada awalnya, kes itu merangkumi 54 dakwaan kegagalan memberikan maklumat kewangan yang tepat, khususnya berkaitan pendapatan penajaan, pihak berkaitan dan kos operasi, manakala 14 pertuduhan tambahan pula berkaitan bayaran pemain dan pengurus.
Kelab itu turut didakwa melakukan manipulasi dengan menyalurkan wang atau dana yang dimiliki oleh organisasi berkaitan dengan pemilik, tetapi ia dilaporkan sebagai pendapatan penajaan komersial menyebabkan mereka kelihatan memperoleh pendapatan besar berbanding jumlah sebenar.
Sebahagian daripada bayaran kepada pemain atau pengurus juga tidak dimasukkan dalam kos yang dilaporkan kelab menyebabkan mereka dilihat berbelanja kurang daripada jumlah sebenar.
Kedua-dua amalan ‘curang’ ini berpotensi memberikan lebih banyak ruang untuk membeli pemain, sedangkan pesaing yang melaporkan angka secara lengkap mungkin terikat dengan had kewangan yang lebih ketat.
Dalam tempoh melibatkan dakwaan pelanggaran tersebut, City memenangi tiga gelaran EPL, Piala FA dua kali, empat kali Piala Liga Inggeris dan Perisai Komuniti.
Ketika ini, saingan EPL dianggap sebagai ‘mesin wang’ terbesar dalam dunia bola sepak apabila kelab-kelab mereka menjana gabungan hasil melebihi £7 bilion (RM37.74 bilion) pada 2025-26, jauh mengatasi mana-mana liga saingan.
Namun, kredibiliti pertandingan bola sepak terkaya di dunia ini bergantung kepada kejujuran setiap kelab mendedahkan pendapatan dan kos mereka dengan tepat serta beroperasi di bawah peraturan kewangan yang sama sekali gus menyebabkan kes City ini mampu memberi kesan besar.
Mengenai hukuman yang dikenakan, ramai yang mengulas mengenai pelucutan gelaran, namun peraturan EPL menyediakan pelbagai bentuk hukuman lain.
Denda besar dan pemotongan mata yang ketara lebih munasabah berbanding tindakan menarik balik gelaran kerana ia bukanlah hukuman rutin atau automatik yang dinyatakan dalam peraturan.
The post Kes Manchester City uji kredibiliti EPL appeared first on Kosmo Online.



