
MANCHESTER – Manchester City berdepan kemungkinan satu lagi ‘tsunami’ undang-undang apabila kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan bakal membuat tuntutan ganti rugi sehingga £800 juta (RM4.4 bilion).
Sebagai rekod, EPL berjaya membuktikan 114 pertuduhan terhadap City yang memanipulasi kewangan tetapi belum dedahkan bentuk hukuman yang bakal diterima oleh pasukan gergasi itu.
Difahamkan, antara kelab yang sudah memulakan langkah awal untuk membuat tuntutan adalah Arsenal, Tottenham Hotspur, Liverpool dan Manchester United kira-kira pada dua tahun lalu.
Mereka telah mengemukakan notis rasmi bagi mengekalkan hak mereka untuk mengambil tindakan jika City didapati bersalah.
Kini, keempat-empat kelab itu meneruskan langkah baharu apabila mula menyediakan perincian tuntutan dengan alasan kelab mengalami kerugian daripada kehilangan peluang pendapatan akibat pelanggaran peraturan kewangan yang dilakukan City sebelum ini.
Tottenham antara kelab yang dikatakan paling terkesan selepas beberapa kali terlepas peluang beraksi di Liga Juara-Juara (UCL), sekali gus berpotensi menuntut jumlah paling tinggi
Menurut laporan, angka sekitar £200 juta (RM1.1 bilion) bagi satu kelab bukanlah sesuatu yang dianggap keterlaluan jika tuntutan berkenaan diteruskan.
Namun, City mempunyai rekod pernah membatalkan hukuman berat sebelum ini apabila berjaya mengetepikan penggantungan dua tahun daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UCL) UEFA pada 2020.
Ketika itu, City pada awalnya didapati melakukan pelanggaran serius terhadap peraturan Peraturan Kewangan Adil (FFP) bagi tempoh 2012 hingga 2016 sebelum hukuman berkenaan dikurangkan selepas proses rayuan. – AGENSI
The post EPL: Man. City berdepan satu lagi ‘bala’ appeared first on Kosmo Online.






