SHAH ALAM – Polis mengesahkan menerima beberapa laporan berhubung gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, susulan laporan tersebut, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan.
Menurutnya, pada peringkat awal, siasatan dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta kontinjen Selangor.
"Bagaimanapun, memandangkan tahap keseriusan kes ini, siasatan telah diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
"Ketika ini, kes berkenaan sedang dikendalikan oleh unit siasatan jenayah Bukit Aman," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran gambar dipercayai berunsur penghinaan terhadap institusi diraja yang tular di media sosial.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis telah mengenal pasti pemilik atau pentadbir akaun Facebook berhubung gambar penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan terhadap individu terbabit sedang dijalankan termasuk merampas peranti yang digunakan bagi membuat hantaran tersebut.
Menurutnya, tindakan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman dengan kolaborasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, seramai 21 saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.






