Sindiket jenayah komersial jadikan Malaysia hab cuci duit - PDRM

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 12:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket jenayah komersial jadikan Malaysia hab cuci duit - PDRM
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar (kanan) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. Foto Bernama.

SHAH ALAM – Kegiatan sindiket jenayah komersial yang dipercayai menjadikan Malaysia sebagai hab bagi aktiviti mencuci wang terbongkar susulan empat operasi berasingan dilaksanakan polis di sekitar Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bersama IPD tempatan itu menumpaskan beberapa sindiket melibatkan penipuan, perjudian dalam talian serta pengubahan wang haram.

"Perkara ini tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia antara lokasi digunakan dalam rantaian jenayah komersial, namun ia bukan keutamaan, sebaliknya sebahagian daripada modus operandi sindiket," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor pada Selasa.

Beliau berkata, dalam operasi pertama pada 14 April lalu, polis menyerbu sebuah premis di Taman Ampang Utama dan menahan 10 warga asing berusia 23 hingga 41 tahun.

"Sindiket itu berperanan menerima wang hasil penipuan dari beberapa negara sebelum ditukarkan kepada mata wang kripto melalui aplikasi Telegram.

"Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk komputer riba dan telefon bimbit dengan nilai kira-kira RM120,000, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen," katanya.

Katanya, serbuan kedua pada 20 April di Residensi Bukit Ampang Permai pula membawa kepada penahanan 10 individu termasuk seorang lelaki tempatan.

"Siasatan mendapati kumpulan ini menjalankan penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan warga China melalui aplikasi seperti Alipay dan WeChat Pay.

"Rampasan melibatkan peralatan komputer dan telefon dianggarkan bernilai RM60,000, dengan sindiket dipercayai aktif sejak Februari lalu," katanya.

Menurutnya, dalam operasi ketiga pada 21 April di Petaling Jaya, seramai lapan lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang.

"Semua suspek berperanan sebagai pengurus akaun bagi memproses transaksi melalui pelbagai lapisan akaun bank untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Rampasan melibatkan peralatan elektronik bernilai sekitar RM40,000, dan sindiket dipercayai beroperasi sejak Disember tahun lalu," katanya.

Tambahnya, operasi keempat pada 24 April di Subang Jaya menyaksikan tiga lelaki ditahan termasuk dua warga asing.

"Sindiket itu menawarkan pelaburan palsu menggunakan laman web tertentu dengan menyasarkan mangsa dari China.

"Rampasan melibatkan telefon bimbit dan komputer dengan nilai kira-kira RM40,000, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan keempat-empat kes tersebut tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain kerana melibatkan kumpulan berbeza.

"Semua suspek kini direman dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket serta saki-baki suspek yang terlibat," katanya.