Kes pelaburan RM1.1 bilion: SPRM akan kemuka cadangan pertuduhan dua individu

LocalPolitics
6 May 2026 • 1:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes pelaburan RM1.1 bilion: SPRM akan kemuka cadangan pertuduhan dua individu
Azam (tiga dari kanan) melihat paparan empat lukisan yang dikaitkan dalam skandal 1MDB selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan cadangan pertuduhan terhadap dua individu berkaitan siasatan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun tidak mendedahkan identiti dua individu berkenaan.

Menurutnya, SPRM sudah merakam keterangan 22 saksi termasuk bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas pegawainya, James Chai.

“Masih ada dua lagi saksi akan dipanggil iaitu seorang di Taiwan dan seorang lagi di dalam negara,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM sudah melengkapkan siasatan berkaitan unsur jenayah dalam kes itu namun keputusan akhir bergantung kepada Jabatan Peguam Negara.

Jelasnya, pegawai penyiasat melihat kepada elemen jenayah, tetapi keputusan itu (pertuduhan) terpulang kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menentukan sama ada terdapat kes atau sebaliknya.

"Saya tidak boleh dedahkan siapa (dua individu terbabit), tetapi kami mencadangkan supaya pertuduhan dibuat.

"Terpulang kepada AGC sama ada akan tuduh atau tidak, jika tiada saya akan nyatakan (perkembangan),” ujarnya.

Sebelum itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan direkodkan keterangan tiga hari berturut-turut bermula Isnin lalu untuk membantu siasatan kes terbabit.

SPRM sebelum itu juga telah mengambil keterangan bekas pegawai Rafizi iaitu Chai Jin Shern atau James Chai selama tiga hari berturut-turut bermula 28 April.