AS$2 bilion aset skandal 1MDB dijangka dipulihkan - Azam

LocalPolitics
6 May 2026 • 1:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AS$2 bilion aset skandal 1MDB dijangka dipulihkan - Azam
Azam (empat dari kanan) dalam sidang akhbar perkembangan kes 1MDB di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan dapat memulihkan AS$2 bilion lagi dana berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu dijangkakan bagi tempoh sehingga akhir tahun 2027.

Menurutnya, pencapaian memulihkan aset 1MDB berjumlah kira-kira RM31.3 bilion iaitu 74.5 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diseleweng RM42 bilion merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah Malaysia.

"Jadi dalam hal ini kita hendak mengembalikan lagi AS$2 bilion.

"Pada saya satu lagi cabaran yang kita kena hadapi pada masa akan datang dari segi perundangan dan sebagainya. Namun demikian mungkin saya boleh katakan di sini bahawa atas nama SPRM, negara-negara luar melihat kami dan mereka bekerjasama," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Beliau berkata, cabaran menguruskan kes 1MDB bermula sejak 3 Julai 2015.

Jelas Azam, ia antara sejarah dan beliau antara pegawai yang membuka fail siasatan kes terbabit ketika itu.

"Jadi, 2015 dan 2025 ia telah 10 tahun sampai kes ini ada dituduh di mahkamah.

"Jadi, pemulihan aset seperti mana saya sebutkan sebelum ini ialah pendekatan yang terkini perlu diaktifkan dalam semua bidang penguatkuasaan," ujarnya.

Tambah Azam lagi, sehingga kini, negara telah berjaya mendapatkan semula aset bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk penjualan kapal layar mewah Equanimity pada harga kira-kira RM543 juta, pemulangan jet peribadi serta hartanah di luar negara.

"Selain itu, Malaysia juga telah mencapai penyelesaian global yang melibatkan institusi kewangan antarabangsa seperti Goldman Sachs, IPIC dan Aabar, serta firma audit seperti Deloitte dan KPMG, yang secara keseluruhan menyumbang berbilion ringgit kepada negara.

"Pemulangan dana oleh individu dan entiti lain, termasuk melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ), turut memperkukuh pencapaian ini," katanya.

Jelas beliau, kejayaan-kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama rapat dengan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom, Singapura dan banyak lagi negara lain.

Tegas beliau, SPRM akan terus komited sepenuhnya untuk menjejaki dan mendapatkan semula setiap aset yang telah diseleweng, tanpa mengira lokasi atau tempoh masa.

"Usaha ini bukan sahaja bertujuan memulihkan sumber kewangan negara, tetapi juga untuk mengembalikan maruah serta kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

"Tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang, dan setiap sen milik rakyat akan dipastikan dikembalikan," katanya.