PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu bagi membantu siasatan berkaitan pembekuan beberapa akaun bank milik Padini Holdings Bhd (Padini) dan anak syarikatnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini seramai 10 individu sudah dirakam percakapan, manakala 15 lagi sedang dikesan bagi membantu siasatan.
"Siasatan kes ini masih berjalan. Pembekuan aset ini masih lagi diteruskan. Memang ada pihak berkenaan memohon untuk dilepaskan, namun pegawai penyiasat memaklumkan aset masih perlu dibekukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini, Rabu.
Pada 25 April lepas, Padini memaklumkan telah memulakan semakan dalaman susulan pembekuan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya oleh SPRM yang dikaitkan dengan siasatan melibatkan beberapa pihak ketiga di luar kumpulan syarikat dan bukan pekerja, pegawai atau sebahagian daripada pengurusan syarikat.
Padini turut memaklumkan pihaknya telah melantik penasihat undang-undang luar serta mengambil langkah sewajarnya termasuk memohon relif bagi tujuan penyahbekuan akaun terlibat, sambil menegaskan operasi harian kumpulan berjalan seperti biasa.
Difahamkan tindakan pembekuan akaun dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam perkembangan lain, Azam turut mengingatkan penjawat awam khususnya yang memegang jawatan dan amanah supaya tidak terlibat dalam rasuah serta salah guna kuasa yang boleh menyebabkan ketirisan kepada negara.
“Saya telah sebut RM277 bilion telah hilang dalam tempoh enam tahun lepas dan wang itu perlu dikembalikan kepada rakyat sebanyak mungkin. Dalam tempoh dua tahun setengah lepas pula, RM5 bilion telah berjaya dikembalikan.
“Jadi menjadi tanggungjawab pengurusan baharu, pegawai-pegawai saya yang kekal dalam SPRM serta semua agensi penguat kuasa lain di bawah pasukan petugas untuk bekerjasama dan mempunyai iltizam sama dalam mengekang segala bentuk jenayah dalam negara ini,” katanya.






