Kes Pelajar Dit*kam : Tiada Jaminan Buat Suspek – Mahkamah

LocalPolitics
22 Oct 2025 • 3:50 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Seorang pelajar Tingkatan Satu (kelas peralihan) telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas tuduhan membunuh seorang perempuan berusia 16 tahun, dalam satu kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada minggu lepas.

Menurut sumber, suspek berusia 14 tahun yang memakai baju berwarna oren hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan itu dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal.

Menurut sumber lagi, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga (kelas peralihan) dalam satu bilik tandas nombor dua sebuah sekolah menengah di Bandar Utama kira-kira jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup atau dalam tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.

image is not available

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin sementara tertuduh diwakili peguam, Anwar Ezzad Zainal. Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes.

Di samping itu, usaha media untuk mengambil gambar tertuduh tidak berhasil memandangkan pelajar bawah umur itu dibawa mahkamah menerusi laluan lain.

Dalam kejadian tersebut, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah itu, selepas ditikam berulang kali.

Sumber : Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.