Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (6 Julai), orang ramai dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) cedera akibat ditikam di sebuah sekolah di Banting, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmalrizal Radzi kemudiannya mengesahkan insiden tersebut dan menjelaskan mangsa yang berusia 15 tahun kini berada dalam keadaan stabil.
Bapa Dedah Anak Alami Cedera Parah Termasuk Pada Paru-Paru Kiri Dipercayai Akibat Ditikam 14 Kali
Terbaharu, bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim mendedahkan dia terkejut sebaik mengetahui anaknya cedera parah akibat serangan itu.
Jelas Mohd Firuz, mangsa kini berada dalam keadaan sedar serta boleh bercakap ketika ditemui di Hospital Banting.
Kongsinya yang berusia 43 tahun, doktor memaklumkan bahawa anaknya yang merupakan pelajar tingkatan tiga mengalami beberapa kecederaan termasuklah pada paru-paru bahagian kiri.
“Semasa saya sampai, keadaannya agak teruk. Tidak lama kemudian, mereka membawanya untuk menjalani imbasan bagi mengenal pasti tahap kecederaannya.
“Paru-paru kirinya tercedera. Dia sedar dan boleh bercakap,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Dakwa Mohd Firuz, mangsa menerima kira-kira 14 kesan tikaman yang kebanyakannya terdapat pada bahagian belakang badan selain dari muka dan kepala.
Anak & Si Pelaku Saling Mengenali, Percaya Anak Bukan Sasaran Utama
Tambahnya lagi, anaknya itu mengenali pelajar berusia 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan memandangkan mereka pernah menjadi rakan sekelas pada tahun lalu.
“Mereka kenal antara satu sama lain. Mereka rakan sekelas tahun lepas,” katanya.
Malah, dia juga percaya anak bukanlah sasaran utama dalam serangan terbabit.
“Saya rasa anak saya bukan sasaran. Mungkin dia mahu menyasarkan orang lain, tetapi anak saya kebetulan berada paling dekat dengannya.
“Mungkin juga kerana badan anak saya agak besar, dia tidak sempat melarikan diri,” jelasnya.
Bapa Fikir Anak Pada Mulanya Jatuh Sakit, Terkejut Lepas Dapat Tahu Ditikam
Menceritakan detik awal sebelum kejadian, Mohd Firuz yang pada ketika itu sedang bekerja menyusun barang menyedari terdapat beberapa panggilan yang tidak dijawab.
“Apabila saya melihat telefon, saya tertanya-tanya mengapa ada begitu banyak panggilan tidak dijawab. Saya kemudian nampak guru sekolahnya ada menelefon.
“Apabila saya menelefon semula, barulah saya tahu apa yang telah berlaku.
“Pada mulanya, saya fikir anak saya mungkin jatuh sakit atau demam. Saya terkejut apabila mendapat tahu dia telah ditikam,” katanya.
Anak Tak Pernah Mengadu Diganggu Atau Ada Masalah Dengan Pelajar Lain
Jelas Mohd Firuz lagi, mangsa yang merupakan anak kedua dari tiga beradik tidak pernah mengadu dirinya diganggu atau mempunyai masalah dengan pelajar lain.
Malah, dia akui berasa sedih dengan kejadian terbabit namun mahu menumpukan sepenuhnya kepada proses pemulihan anak.
“Semestinya saya kesal perkara ini berlaku, tetapi ia sudah pun terjadi. Kita kena reda,” katanya.
Bapa Harap Ada Penambahbaikan Keselamatan Di Sekolah
Pada masa sama, Mohd Firuz menjelaskan dia berharap agar pihak sekolah melakukan penambahbaikan ekoran insiden berkenaan.
“Selepas melihat apa yang berlaku hari ini, saya rasa keselamatan perlu dipertingkatkan.
“Perlu ada pemeriksaan yang betul di pintu masuk sebelum sesiapa sahaja dibenarkan masuk ke dalam sekolah,” jelasnya.
Suspek Ditenangkan Guru Sebelum Ditahan Polis, Senjata Turut Dirampas
Sebelum ini, tular di media sosial video seorang individu dipercayai remaja perempuan berpakaian serba hitam dan memakai topi dilihat berjalan sambil memegang sebilah pisau sehingga menimbulkan kekecohan di kawasan sekolah berkenaan.
Lapor Harian Metro yang memetik sumber, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga dipercayai ditikam belasan kali oleh pelajar dari sekolah sama.
Sebelum insiden berkenaan, suspek dilaporkan memasuki kawasan sekolah menerusi pintu masuk utama.
Suspek kemudiannya ditenangkan oleh guru di kawasan tepi surau sekolah selepas insiden tikaman tersebut.
Pada masa sama, pihak sekolah turut menghubungi polis sebelum suspek ditahan.
Malah, polis turut merampas senjata iaitu pisau yang digunakan dalam kejadian terbabit.





