Bapa kepada pelajar lelaki berusia 15 tahun yang menjadi mangsa kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di sini pagi tadi menyifatkan insiden itu sebagai mengejutkan dan di luar jangkaan.
Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata beliau menerima panggilan daripada guru kelas anaknya kira-kira jam 9.30 pagi sebelum bergegas ke Hospital Banting.
“Saya sedang bekerja, kemudian cikgu telefon memaklumkan anak saya kena tikam. Saya memang terkejut dan terus datang ke hospital,” katanya ketika ditemui di Zon Kecemasan Hospital Banting, hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba di hospital, anaknya berada dalam keadaan serius sebelum menjalani pemeriksaan lanjut bagi menilai tahap kecederaan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat doktor, paru-paru kiri anaknya turut terkena tikaman dan mangsa dijadual menjalani prosedur bagi mengeluarkan darah yang terkumpul.
Tambahnya, anaknya kini dalam keadaan sedar dan masih boleh bercakap walaupun mengalami kecederaan serius.
Mohd Firuz memaklumkan anaknya dipercayai mengalami kira-kira 14 tikaman di bahagian belakang badan selain kecederaan pada muka, bibir dan telinga.
Katanya, mangsa mengenali suspek kerana pernah berada dalam kelas yang sama tahun lalu, namun tidak mengetahui motif sebenar kejadian.
“Saya rasa bukan anak saya yang menjadi sasaran. Mungkin dia nak sasarkan orang lain, tetapi anak saya yang paling dekat ketika itu. Mungkin dia tak sempat nak larikan diri,” katanya.
Beliau berkata, suspek juga difahamkan masih merupakan pelajar di sekolah berkenaan dan tidak pernah ada sebarang aduan gangguan sebelum ini.
Artikel lain: Gadis Ditikam 61 Kali: Suspek Didakwa Esok, Seorang Lagi Bebas Dengan Jaminan
Dalam pada itu, beliau menggesa supaya aspek keselamatan di sekolah dipertingkatkan terutama di bahagian pintu masuk.
“Pada saya, keselamatan sekolah sekarang macam tak selamat. Bahagian depan sekolah perlu tapis dulu siapa yang masuk. Bila dah tapis di depan, barulah lebih selamat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, pagi tadi. Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Banting.
Sumber: Buletin TV3The post Kes Tikam Pelajar Di Banting: Anak Saya Bukan Sasaran, Cuma Tak Sempat Lari – Bapa Mangsa appeared first on Borak Daily.










