
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang menyeluruh, telus dan segera untuk mengenal pasti punca sebenar kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak.
Pelajar berkenaan ditemukan meninggal dunia pada 18 November dan mayatnya kemudian dilaporkan telah dibawa ke Hospital Taiping untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Tingkatan 3 SBP Di Perak Meninggal Dunia, Anwar Ibrahim Mahu Siasatan Menyeluruh, Telus & Segera
Bapa kongsi tiada perkara luar biasa yang diceritakan oleh pelajar Tingkatan Tiga
Terbaharu bapa kepada pelajar lelaki berkenaan, Mohd Idzwan Razali memaklumkan rutin harian persekolahan dan di asrama anaknya itu berjalan seperti biasa, sama seperti pelajar lain.
Jelas bapa berusia 48 tahun itu sepanjang dia dan anak lelakinya itu berbual tiada apa-apa perkara luar biasa yang diceritakan remaja berkenaan mengenai kehidupan persekolahannya.
Kata bapa pelajar itu, anaknya Muhammad Al Fatih Mohd Idzwan, 15, telah bersekolah di sekolah tersebut sejak dari Tingkatan Satu dan tidak pernah berkongsi apa-apa masalah berkaitan dengan kehidupan asrama.
“Persekolahan macam biasa. Kehidupan asrama pun sama seperti pelajar-pelajar lain,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Perkara itu dimaklumkan oleh bapa pelajar sewaktu ditemui media di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping.
Kali terakhr jumpa anak lelaki ketika cuti perayaan Deepavali
Mohd Idzwan turut memaklumkan berita mengenai kematian anak ketiga daripada lima beradik itu diterima daripada pihak polis serta pengetua sekolah di antara jam 3 hingga 4 petang pada 18 November.
Beliau turut memaklumkan kali terakhir bertemu dengan anaknya itu adalah sewaktu berjumpa ketika cuti perayaan Deepavali yang lepas.
Sempat berhubung di Telegram sebelum insiden
Akan tetapi mereka sempat berhubung melalui aplikasi Telegram sehari sebelum insiden itu, yang mana anaknya itu berkongsi mengenai aktiviti biasa berkaitan kehidupan di sekolah berkenaan.
“Kalau ikut perancangan keluarga sebelum ini, memang kami merancang supaya Muhammad Al Fatih meneruskan persekolahan di sekolah itu sehingga tamat Tingkatan Lima.”
Harap siasatan berhubung insiden melibatkan anak dapat dilakukan secara telus dan menyeluruh
Selain itu, bapa kepada pelajar berkenaan turut berharap siasatan mengenai insiden terbabit dilaksanakan secara telus serta menyeluruh.
Mohd Idzwan turut memberitahu pengurusan sekolah juga sudah memberikan penerangan mengenai insiden terbabit, akan tetapi pihaknya tidak mahu melakukan sebarang andaian sementara menunggu untuk hasil siasatan polis seerta bedah siasat.
Tak mahu buat sebarang andaian
“Saya harapkan siasatan telus dan menyeluruh daripada semua aspek.
“Saya tak boleh buat andaian apa-apa kerana ia masih tertakluk kepada hasil siasatan,” ujarnya.
Jenazah pelajar itu turut dijadualkan akan dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebaik proses bedah siasat selesai dilakukan.






