Kes pembunuhan pemandu e-hailing: Datuk Mat Zaki, tujuh lagi bebas

26 Jan 2024 • 1:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Perbicaraan kes pembunuhan seorang pemandu e-hailing bertukar dramatik pada Khamis, dengan bekas Ketua Staf Perisikan Esscom SAC Datuk Mat Zaki Md Zain dan tujuh tertuduh lain dilepaskan dan dibebaskan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Khairul Azreem Mamat untuk tidak meneruskan kes selepas saksi pendakwaan, iaitu bekas isteri mangsa, mengaku menikamnya menggunakan gunting.

DPP Khairul memohon untuk tidak meneruskan pendakwaan susulan perkembangan terbaharu tersebut pada hari kelapan perbicaraan, dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Saksi ke-23 pendakwaan, Nurimah Juli, 35, yang merupakan bekas isteri mangsa, semasa pemeriksaan utama pada Khamis, memberitahu mahkamah bahawa dia menikam mangsa dengan gunting yang diambil dari begnya ketika bergaduh dengannya di dalam kereta Myvi di lokasi kejadian pembunuhan itu.

SPONSORED CONTENT RM20bil green steel project: Sabah on its way to adopting green technology, says Hajiji Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said Sabah is well on its way to fully adopting the green technology revolution with a RM20 billion green steel project at the Sipitang Oil and Gas Industrial Park (Sogip). Read more Nurimah turut memberi keterangan bahawa ketika itu, tiada sesiapa di lokasi kejadian kecuali dia dan mangsa.

Susulan pengakuannya, pihak pendakwaan memohon untuk berhenti sebentar sebelum memaklumkan mahkamah permohonan mereka untuk tidak meneruskan kes itu.

Peguam bagi setiap tertuduh kemudian memohon supaya anak guam masing-masing dibebaskan.

Terdahulu, Mat Zaki, 58, berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan enam tertuduh lain - Rosdi Rastam, 44, Dennis Ak Enit, 44, Fabian Ak Rungan, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan Vivien Fabian, 34, membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 antara 7.30 dan 11.30 malam pada 13 Jan 2023.

Mat Zaki turut didakwa bersubahat dengan John Kennedy Ak Sanggah membunuh mangsa pada masa dan lokasi yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.

Tujuh tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.

Peguam Datuk Ansari Abdullah, yang mewakili Rosdi (tertuduh pertama) memohon anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan selepas kesemua 23 saksi pendakwaan dipanggil dan mereka (tertuduh) sudah berada dalam tahanan selama setahun.

Peguam Datuk Ram Singh turut memohon perkara sama untuk Mat Zaki, John, Vivien, Khairul Azman dan Mohd Azlan.

Peguam Luke Ressa Balang dan Mohamed Zairi Zainal Abidin turut memohon perkara yang sama terhadap anak guam masing-masing, Dennis Ak Enit dan Fabian Ak Rungan.

Duncan dalam memerintahkan kesemua lapan individu itu dilepaskan dan dibebaskan, mengosongkan semua tarikh perbicaraan yang ditetapkan.

Sementara itu, suasana di dalam dan luar mahkamah bertukar riuh rendah dengan ahli keluarga tertuduh serta peguam bela mereka dilihat menangis kegembiraan.

Mereka berpelukan sesama sendiri dan menangis kegembiraan.

Bersama-sama dengan DPP Khairul dalam pasukan pendakwaan ialah Rohaiza Abd Rahman, Lina Hanini Ismail, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad dan Low Win Hui.

Bagi tertuduh, Rosdi diwakili oleh Datuk Ansari Abdullah dan Erveena Ansari; Dennis (Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang); Fabian (Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent dan Mohamad Zairi Zainal Abidin).

Vivien, John, Khairul Azman, Datuk Mat Zaki dan Mohd Azlan diwakili oleh Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.