
SHAH ALAM – Pemuda yang terpalit dalam insiden kekecohan operasi penangkapan anjing liar, Muhammad Shah Haizam, 24, mengakui menerima ancaman terhadap dirinya dan keluarga susulan kejadian itu.
Menurutnya, ancaman tersebut diterimanya pada hari pertama dan kedua kejadian tersebut diviralkan dengan terdapat individu hadir ke kawasan kediamannya untuk mencarinya.
“Buat masa sekarang, selepas beberapa hari, tiada lagi ancaman berbentuk fizikal. Tetapi hari pertama dan kedua ketika perkara ini tular, ada juga yang datang ke taman untuk mencari saya. Mereka tidak jumpa saya kerana keselamatan saya dijaga pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT),” katanya pada sidang akhbar #Justiceforshah di sini hari ini,
Muhammad Shah berkata, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) turut memberikan sokongan penuh kepadanya sepanjang berdepan isu berkenaan.
Mengulas kejadian pada malam berkenaan, Muhammad Shah berkata, dia hadir untuk menjalankan tugas dan ditemani rakan-rakan serta pihak MBDK bagi memastikan operasi berjalan mengikut prosedur.
“Saya menjalankan tugas dan ditemani rakan-rakan serta pihak MBDK. Bagi mengelakkan sebarang insiden, ada pihak yang menasihatkan supaya prosedur ditetapkan dipatuhi,” katanya
Ketika ditanya sama ada isu akan memberikan kesan bagi penyertaan operasi pada masa akan datang, Muhammad Shah menyerahkan urusan tersebut kepada MBDK. – KOSMO! ONLINE
The post Kes Rocky: ‘Ada yang ancam, cari saya sampai ke rumah’ appeared first on Kosmo Digital.




