Kes Rocky: ‘Saya pergi operasi bukan hendak bunuh haiwan’

13 Aug 2026 • 3:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kes Rocky: ‘Saya pergi operasi bukan hendak bunuh haiwan’

SHAH ALAM – Seorang pemuda yang terpalit dalam kekecohan operasi penangkapan anjing liar di Taman Telok Gedong Indah, Klang menafikan dirinya hadir dengan niat untuk mencederakan atau membunuh anjing dikenali sebagai Rocky.

Muhammad Shah Hizam, 24, berkata, kehadirannya pada malam kejadian adalah bagi menyertai operasi bersama komuniti setempat dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) selepas menerima jemputan bertulis daripada Rukun Tetangga Jalan Samagagah.

Lelaki tersebut turut melahirkan rasa kecewa terhadap kematian Rocky serta menegaskan tidak menyokong sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan.

“Saya tidak menyokong sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan tidak hadir pada malam tersebut dengan niat untuk mencederakan atau membunuh mana-mana haiwan,” katanya pada sidang akhbar #Justiceforshah di sini, hari ini.

Sementara itu, Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan dakwaan anak guamnya bertindak sebagai ‘vigilante’ yang keluar secara bersendirian untuk memburu dan menyeksa anjing adalah tidak benar.

Tegasnya, ia adalah penyelewengan fakta yang dinafikan Muhammad Shah dan telah memberikan kerjasama penuh kepada agensi-agensi siasatan serta penguatkuasaan.

“Operasi ini dijalankan atas seliaan MBDK dan bukannya suka-suka berkumpul dan mencari anjing liar. Ia dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai anjing yang berkeliaran tanpa kwaln dan membawa risiko terhadap keselamatan awam,” katanya.

Beliau berkata, peserta operasi turut diberikan taklimat oleh anggota MBDK mengenai kaedah menangkap anjing menggunakan peralatan gelung (loop) sebelum operasi dimulakan.

Katanya, peralatan loop yang digunakan Muhammad Shah juga bukan milik peribadinya sebaliknya dibekalkan MBDK untuk tujuan operasi.

“Sebanyak 12 anjing berjaya ditangkap pada malam itu dan semuanya dalam keadaan hidup. Hanya satu yang kemudiannya disahkan mati iaitu Rocky,” katanya.

Mengulas kejadian membabitkan Rocky, Muhammad Rafique berkata, pegawai MBDK turut berada di lokasi ketika tangkapan dilakukan.

Menurutnya, wanita yang kemudian mendakwa sebagai pemilik Rocky tiba selepas peralatan loop dipasang pada anjing berkenaan dan cuba menghalang Rocky daripada dibawa pergi dengan memeluk serta duduk di atas badannya.

“Dalam keadaan itu berlaku tindakan tarik-menarik ketika peralatan loop masih berada pada bahagian leher Rocky menyebabkan keadaan menjadi tegang dan kelam-kabut,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shah berkata, berdasarkan apa yang dilihatnya pada malam kejadian, Rocky tidak mempunyai tanda pengenalan atau tag pada badannya ketika ditangkap.

Katanya, wanita berkenaan kemudian diminta memberikan kerjasama serta maklumat berkaitan pemilikan dan lesen Rocky, namun setakat yang disaksikannya, tiada lesen dikemukakan pada ketika itu. – KOSMO! ONLINE

The post Kes Rocky: ‘Saya pergi operasi bukan hendak bunuh haiwan’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved