
SHAH ALAM – Seorang pemuda yang sebelum ini dikaitkan dengan kes kematian seekor anjing dikenali sebagai Rocky mengakui masih belum mengetahui jenis pertuduhan yang akan dihadapinya di mahkamah esok susulan kejadian kontroversi itu.
Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, berkata, dia sebaliknya terkejut selepas menerima waran untuk hadir ke mahkamah untuk dituduh dipercayai di bawah Akta Kebajikan Haiwan.
“Saya memang tidak jangka akan dituduh minggu ini. Saya ada bertanya kepada pihak Jabatan Veterinar mengenai hasil siasatan, namun mereka memaklumkan jenis pertuduhan hanya akan diketahui ketika prosiding esok.
“Saya akan hadir bersama pihak Kumpulan Rukun Tetangga (KRT)” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pemuda tersebut yang lebih mesra dipanggil Shah berkata, tahap kesediaannya untuk menghadapi prosiding berkenaan hanya sekitar 50 peratus berikutan baru sahaja menerima waran tersebut pada Isnin lalu.
“Saya sendiri tidak tahu berapa lama proses (termasuk perbicaraan) ini akan mengambil masa,” katanya.
Dalam pada itu, Shah yang bekerja sebagai penghantar barang menegaskan isu kematian Rocky tidak seharusnya dikaitkan dengan sentimen perkauman kerana hubungan antara penduduk pelbagai kaum di kawasan berkenaan kekal baik.
“Ini bukan isu perkauman. Orang India di kawasan situ pun okey dengan saya. Saya sudah lebih 10 tahun tinggal di situ dan bekerja sebagai penghantar barang, jadi ramai penduduk di Taman Telok Gedong Indah mengenali saya.
“Saya juga pernah berjumpa dengan wanita yang mendakwa pemilik anjing itu sebelum kejadian, namun selepas insiden tersebut tiada sebarang pertemuan antara kami,” katanya.
Mengulas kecaman dan ugutan yang diterima susulan kejadian itu, Shah berkata, dia bersama pihak KRT mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dirinya dan keluarga.
“Kami ada melakukan rondaan kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku susulan insiden penangkapan anjing liar itu yang membawa kepada kematian Rocky, termasuk membabitkan keselamatan saya dan keluarga,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu turut memberi kesan dan tekanan kepada isteri dan ibunya selepas mereka melihat pelbagai kecaman serta ugutan yang dibuat menerusi siaran langsung di media sosial.
“Impaknya sangat kuat terutama kepada isteri dan ibu saya. Mereka terlalu risau, melihat siaran langsung, ada ugutan bunuh dan mereka menangis tidak berhenti.
“Saya selalu tenangkan mereka supaya banyak bersabar dan berfikiran positif,” katanya.
Shah pada masa sama menafikan dakwaan dia tidak menyayangi haiwan, sebaliknya mengakui dirinya pencinta haiwan dan sering memberi makanan kepada kucing serta anjing terbiar.
“Mereka tahu bagaimana saya dengan haiwan. Saya tidak akan mencederakan atau membunuh haiwan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya telah mendapat arahan pertuduhan berhubung kes kekecohan penangkapan anjing liar sehingga membawa kematian anjing dikenali Rocky di Mahkamah Majistret Klang esok.
Katanya, arahan itu diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas siasatan selesai dijalankan.
“Insya-Allah esok dijangka diadakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang. Saya mohon rakan media merujuk pihak mahkamah bagi mendapatkan waktu sebenar pertuduhan.
“Pertuduhan ini dijangka tidak hanya membabitkan pihak polis, malah agensi penguat kuasa lain juga,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama penduduk setempat bertukar kecoh apabila dihalang seorang wanita sebelum membawa kematian terhadap Rocky pada 29 Julai lalu.
The post Kes Rocky: ‘Saya memang tak jangka akan didakwa’ appeared first on Kosmo Digital.






