Kes Rocky: Individu Terlibat Didakwa Esok

19 Aug 2026 • 9:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kes Rocky: Individu Terlibat Didakwa Esok

SHAH ALAM - Seorang individu dijangka didakwa esok berhubung kematian seekor anjing liar dikenali sebagai Rocky, ketika operasi penangkapan sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan proses pendakwaan selepas siasatan berhubung kejadian itu selesai.

“Insya-Allah, pertuduhan dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Klang esok. Saya meminta pihak media mendapatkan pengesahan daripada mahkamah berhubung waktu tepat prosiding.

“Pertuduhan itu dijangka membabitkan bukan sahaja pihak polis, malah agensi penguat kuasa lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, Shazeli enggan mengesahkan sama ada lelaki dan wanita yang sebelum ini dikaitkan dengan kejadian berkenaan akan menjadi antara individu didakwa atau undang-undang khusus bakal digunakan.

Beliau pada masa sama menggesa orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau demonstrasi berkaitan kes itu, memandangkan siasatan telah dijalankan secara menyeluruh dan pihak yang bertanggungjawab sudah dikenal pasti.

“Siasatan yang dijalankan membawa kepada arahan supaya pertuduhan dibuat esok. Ini menunjukkan bahawa kita tidak memihak kepada mana-mana pihak.

“Mana-mana individu yang melanggar undang-undang akan disiasat dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Tegas Shazeli, orang ramai seharusnya memberi ruang kepada proses perundangan untuk berjalan dan tidak mengambil tindakan melalui penganjuran demonstrasi.

“Berikan kepercayaan dan ruang kepada sistem perundangan untuk menjalankan tugasnya. Tidak perlu datang dan mengadakan perhimpunan,” katanya.

Getaran difahamkan, polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di Mahkamah Majistret Klang esok bagi memastikan ketenteraman awam sepanjang prosiding berlangsung.

Shazeli turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan polis serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kekacauan.

“Biarkan undang-undang menjalankan tugasnya,” katanya.

Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan khianat kerana membunuh atau mencederakan haiwan.

Kematian Rocky ketika operasi penangkapan anjing liar itu mendapat perhatian meluas susulan persoalan mengenai keadaan sebenar yang berlaku, sekali gus mencetuskan desakan supaya pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki yang dikaitkan dengan kekecohan ketika operasi berkenaan turut dijangka didakwa oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Mahkamah Majistret Klang esok. - Getaran, 19 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved