Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam kes saman fitnah berhubung kenyataan video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.
Dr Akmal tak hadir ke mahkamah
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, daripada jumlah itu, sebanyak RM250,000 diperintahkan sebagai ganti rugi manakala RM50,000 lagi bagi kos mahkamah.
Walau bagaimanapun, Dr Akmal tidak hadir ketika Hakim Datuk Isa Aziz Ibrahim membacakan keputusan berhubung kes berkenaan.

Foto: Utusan Malaysia
Mahkamah berpendapat video dikongsi bawa unsur fitnah serius
Dalam penghakimannya, hakim berkata mahkamah mendapati kenyataan yang dibuat defendan menerusi video itu membawa maksud memfitnah plaintif selain melampaui batas kritikan terhadap dasar awam.
Mahkamah turut mendapati defendan gagal membuktikan pembelaan komen yang adil dan keistimewaan bersyarat yang dikemukakan bagi mempertahankan kenyataan tersebut.
Menurut hakim, mahkamah mengambil kira pengakuan defendan bahawa video berkenaan dirakam ketika beliau berada dalam keadaan marah serta bertujuan membidas plaintif secara peribadi.
“Mahkamah berpendapat video berkenaan membawa unsur fitnah yang serius apabila plaintif digambarkan sebagai individu yang secara berterusan menggugat keharmonian negara,” katanya.

Selain memerintahkan pembayaran ganti rugi dan kos mahkamah, mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal bagi menghalang Dr Akmal daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah sama atau yang membawa maksud serupa.
Beliau juga diarahkan memadamkan video berkenaan daripada semua akaun media sosial miliknya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.
Teresa diwakili peguam Datuk Sankara Nair, manakala Muhamad Akmal diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin.
Sumber: Utusan Malaysia (Amran Mulup)





