MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh diperintahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada 2024.
Jumlah itu merangkumi ganti rugi am sebanyak RM250,000 dan kos sebanyak RM50,000.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Isa Aziz Ibrahim pada Isnin.
Teresa diwakili peguam, Datuk Sankara Nair, manakala Akmal diwakili peguam, Syahrul Syazwan Salehin.
Sankara berkata, mahkamah mendapati Akmal bertanggungjawab terhadap kenyataan berunsur fitnah yang menjadi subjek saman berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan yang dikemukakan sepanjang prosiding dan beliau menyifatkan penghakiman berkenaan sebagai adil serta saksama.
Beliau berkata, mahkamah turut memerintahkan Akmal menurunkan hantaran berkaitan dalam tempoh tujuh hari selain melarangnya mengulangi kenyataan berkenaan.
"Saya berharap mereka yang mempunyai tanggapan salah terhadap Teresa sebelum ini akan melihat bahawa mahkamah mendapati kenyataan tersebut bersifat fitnah.
"Dalam politik, terdapat batasan ketika mengkritik. Jika melampaui batas, ia boleh menjadi fitnah dan tindakan itu mempunyai akibat dari segi undang-undang," katanya di pekarangan Mahkamah Tinggi pada Isnin.
Sementara itu, Teresa berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang disifatkan sebagai membersihkan namanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam yang mengendalikan kes berkenaan serta rakan-rakan yang hadir memberikan sokongan.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu juga menjadi peringatan kepada ahli politik supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan kepada masyarakat.
"Saya menghormati keputusan hakim yang menegaskan bahawa ahli politik perlu mengeluarkan kenyataan yang berasas dan mempunyai standard kerana kita memainkan peranan dalam membentuk pemikiran masyarakat.
"Saya melihat perkara itu sebagai nasihat yang baik untuk diri saya sendiri dan rakan-rakan dalam kepimpinan politik supaya lebih berhati-hati dengan kenyataan yang dibuat," katanya.
Mengulas mengenai penggunaan wang ganti rugi itu, Teresa berkata, beliau lazimnya menyalurkan wang yang diterima daripada kes saman kepada tujuan amal, selain mengambil kira bayaran kepada peguam yang mengendalikan kes berkenaan.
Teresa memfailkan saman pada 25 Oktober 2024 dengan mendakwa Akmal mengeluarkan kenyataan menghina dan merendahkan dirinya menerusi video di aplikasi TikTok pada 7 September 2024.
Beliau mendakwa kenyataan itu menggambarkannya sebagai tidak mempunyai pengetahuan, khususnya berkaitan pensijilan halal, selain menentang dasar kerajaan mengenai amalan Islam.
Teresa menamakan Akmal, yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, sebagai defendan tunggal dan menuntut pampasan serta ganti rugi am dan teladan.





