
Kes Serang Balai Polis Ulu Tiram: Bapa, Anak Dipenjara 30 Tahun, Ibu Kena Penjara Empat Tahun
KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Bapa dan abang kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap tertuduh, 64, bagi setiap tiga pertuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dan memiliki senjata api untuk aktiviti berkaitan keganasan manakala tiga tahun penjara atas kesalahan memiliki buku berkaitan kumpulan pengganas.
Anak lelakinya pula yang berusia 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bagi satu pertuduhan memberi sokongan dan penjara tiga tahun kerana memiliki bahan berkaitan sebuah kumpulan pengganas.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 17 Mei 2024. Ini bermakna dua beranak itu akan menjalani hukuman penjara selama 30 tahun.
Dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang suspek, 21, yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap isteri tertuduh , 61, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh sama (17 Mei).
Sementara itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan dua anak perempuan tertuduh yang berusia 25 dan 21 tahun, daripada pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan, selepas Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan pihaknya menarik balik pertuduhan terhadap mereka.
Baca juga:
Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Dua Anggota Polis Terkorban Dinaikkan Pangkat
Wira Insiden Tembakan Balai Polis Ulu Tiram Pimpin Ikrar Rukun Negara, Laungan Merdeka
5 Ahli Keluarga Suspek Serangan Balai Polis Ulu Tiram Didakwa Terbabit Dengan Ideologi IS
Sebelum menjatuhkan hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh, Hakim Nurulhuda Nur’aini berkata kesalahan-kesalahan dilakukan tertuduh adalah amat serius hingga mengakibatkan kejadian bunuh di Balai Polis Ulu Tiram.
"Walaupun pengakuan salah tertuduh-tertuduh boleh dilihat menjimatkan masa tetapi pada masa sama ia bukan suatu bentuk diskaun untuk kesalahan-kesalahan yang serius," katanya.
Hakim itu berkata mahkamah juga mengambil kira bahawa dalam hujahan mitigasi pihak pembelaan dan pendakwaan, tiada sebarang pembelaan wajar atau munasabah dikemukakan yang menjustifikasikan kenapa perbuatan salah itu dilakukan.
Berdasarkan fakta kes dibacakan di mahkamah menyatakan bahawa tertuduh sering mengkafirkan pihak yang tidak sehaluan dengan fahamannya serta menyampaikan dakwah berkenaan taghut, kebencian terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan.






