Kes sorok mayat bayi dalam lokar asrama, kekasih pelajar direman

28 Sep 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes sorok mayat bayi dalam lokar asrama, kekasih pelajar direman
Seorang lelaki direman bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun dipercayai menyembunyikan mayat bayi di sebuah asrama institusi pendidikan.

DUNGUN - Seorang mekanik direman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun dipercayai menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya di sebuah asrama institusi pendidikan di sini pada 9 September lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ng Yan Ni bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mekanik berusia 24 tahun dari Kuala Terengganu itu, yang dipercayai teman lelaki pelajar berkenaan, ditahan di Jalan Pantai Teluk Lipat dekat sini pada 3 petang Ahad.

Nik Ab Halim berkata, pelajar perempuan itu pula ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 6 petang Ahad, namun diberi jaminan polis atas faktor kesihatan.

"Siasatan awal mendapati pelajar itu melahirkan bayi di dalam tandas asrama perempuan institusi pendidikan berkenaan kira-kira 5 petang pada 9 September tanpa mengetahui dirinya mengandung," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, pelajar perempuan itu menyimpan mayat bayi berkenaan, yang dipercayai meninggal dunia sejurus dilahirkan, di dalam lokar miliknya tanpa pengetahuan rakan sebilik.

Nib Ab Halim berkata, pelajar itu disyaki turut memaklumkan kejadian tersebut kepada teman lelakinya untuk mendapatkan bantuan menguruskan pengebumian bayi berkenaan secara senyap. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved