Kes Tampar Pemain: Bapa Luah Rasa Kecewa, Jurulatih Bola Tampar Wajar Dapat Peluang Kedua

13 Jan 2023 • 7:12 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available
bapa kecewa lesen jurulatih ditarik

Sebelum ini, kami ada melaporkan berita penarikan lesen jurulatih bola tampar tular oleh pihak Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA).

Keputusan itu dilakukan ekoran penularan satu video di media sosial memaparkan tindakan jurulatih berkenaan menampar dua orang pemain pasukan bola tampar Melaka bawah 14 tahun (B-14).

Malah jurulatih yang juga seorang guru itu turut tidak dibenarkan untuk menjadi jurulatih sukan termasuklah jurulatiih kepada pelajar sekolah.

Bapa pemain luah rasa kecewa, berpendapat Cikgu Hadee wajar diberi peluang kedua

Terbaharu, salah seorang bapa dari pemain yang terbabit dalam kes berkenaan meluahkan rasa kecewanya terhadap keputusan untuk menarik semula lesen jurulatih, Saiful Hadee.

Memetik laporan Kosmo, bapa pemain itu, Abd. Halim Bakar, 50, menerima keputusan yang dimuktamadkan pihak terlibat, tetapi masih berharap agar jurulatih tersebut diberikan peluang kedua.

Keputusan tarik balik lesen seperti bunuh kerjaya jurulatih bola tampar

Jelasnya, tindakan yang diberikan kepada jurulatih yang dikenali sebagai Cikgu Hadee itu seperti boleh menamatkan kerjayanya sebagai seorang jurulatih bola tampar selepas dia berhempas-pulas berkorban masa, wang ringgit, dan komitmen yang tinggi demi melatih pemain negeri.

“Saya tidak berani hendak ulas perkara ini, cuma saya rasa hukuman yang dikenakan dibuat tanpa mengambil kira pencapaian dan sumbangan beliau sebelum ini.

“Paling tidak pun berilah amaran kali pertama, saya faham tindakan yang dilakukannya itu salah daripada segi undang-undang, namun tidak adakah ruang dia diberikan pertimbangan yang sewajarnya?,” jelas bapa pemain itu ketika dihubungi media.

Maklum anak kecewa lepas tahu jurulatih tak ajar lagi pasukannya

Bapa kepada pemain Nur’ Saidatul Akma itu dalam masa sama turut memaklumkan anaknya itu juga kecewa sebaik sahaja mengetahui jurulatih berkenaan tidak lagi akan melatih pasukannya.

Menurutnya, kesedihan yang dirasakan oleh pemain berkenaan adalah kerana mereka sudah sesuai dengan kaedah yang diterapkan oleh Cikgu Hadee tersebut hingga boleh membawa kejayaan kepada pasukan.