Kes tetak polis: Keterangan lebih 20 saksi dirakam, keadaan mental suspek disiasat

13 Nov 2026 • 1:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kes tetak polis: Keterangan lebih 20 saksi dirakam, keadaan mental suspek disiasat

SHAH ALAM, 13 NOV: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga asing yang menetak anggota polis di Kepong, Rabu lalu, mengalami masalah kesihatan mental sebelum kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata dakwaan itu timbul susulan laporan seorang kenalan suspek yang memaklumkan lelaki berkenaan berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak agresif di kediamannya.

Menurutnya, lebih 20 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, termasuk jiran, penduduk setempat dan kenalan suspek.

“Berdasarkan maklumat diterima, setakat ini, kami percaya suspek berada dalam keadaan mental tidak stabil ketika kejadian.

“Bagaimanapun, punca sebenar keadaan itu masih dalam siasatan, termasuk menerusi keterangan rakan dan kenalan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Shazeli berkata, polis turut mengesan beberapa lagi kenalan suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut dan meneliti sama ada keadaan kesihatannya selari dengan dakwaan individu yang mengenalinya.

Dalam perkembangan lain, siasatan mendapati suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, namun pas berkenaan dan pasportnya dipercayai sudah tamat tempoh.

Suspek juga menetap di pangsapuri lokasi kejadian, tetapi bukan penyewa berdaftar kerana unit berkenaan disewa rakannya yang juga warga tempatan.

Mengulas keadaan anggota polis yang cedera dalam serangan itu, Shazeli berkata Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy, 26, kini stabil selepas pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya menyambung semula pergelangan tangannya yang putus.

“Syukur, menerusi usaha pasukan perubatan, pergelangan tangan anggota terbabit berjaya disambung semula.

“Beliau kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam kejadian pada petang Rabu lalu, anggota polis itu parah selepas ditetak menggunakan parang oleh suspek di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong.

Suspek kemudian ditembak mati polis selepas sekali lagi menyerang anggota keselamatan ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan tidak jauh dari pangsapuri berkenaan, antara jam 7.30 hingga 8 malam.

Polis melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan menahan suspek sebelum membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved