
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 11 November lalu tular di media sosial insiden membabitkan seorang lelaki warga asing yang mengamuk dengan bersenjatakan parang sehingga mencederakan seorang anggota polis.
Anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu mengalami putus pergelangan tangan kanan dan cedera di bahagian kepala serta badan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Anggota Polis Putus Pergelangan Tangan Ditetak Warga Asing Jalani Pembedahan Penyambungan
Suspek serang anggota polis hingga putus pergelangan tangan alami masalah mental sebelum insiden berlaku
Terbaharu Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan suspek yang menyerang anggota polis di Kepong itu dipercayai mengalami masalah kesihatan mental sebelum kejadian terbabit berlaku.
Ujar beliau, menerusi hasil siasatan mendapati seorang kenalan lelaki warga asing itu membuat laporan polis yang mendakwa suspek berada dalam keadaan mental yang tidak stabil serta bertindak agresif di rumahnya.
Punca sebenar keadaan masih dlaam siasatan
Berikutan daripada laporan berkenaan, Shazeli Kahar mengatakan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) kemudiannya telah bergegas ke tempat kejadian.
“Berdasarkan maklumat diterima, setakat ini, kami percaya suspek berada dalam keadaan mental tidak stabil ketika kejadian.
“Bagaimanapun, punca sebenar keadaan itu masih dalam siasatan, termasuk menerusi keterangan rakan dan kenalan suspek,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Suspek disahkan mati ditembak oleh pihak polis.
Lebih 20 saksi telah dirakam keterangan
Selain itu Shazeli turut memberitahu bahawa lebih 20 saksi telah pun dirakam percakapan dan ia melibatkan:
- Jiran
- Penduduk setempat
- Kenalan suspek
Polis siasat tahap kesihatan suspek, beberapa kenalan suspek sedang dikesan
Tambah beliau, PDRM juga sedang menyiasat tahap kesihatan mental suspek sama ada ia selari dengan dakwaan kenalan lelaki berkenaan.
“Kami masih menyiasat tahap kesihatan mentalnya sama ada selari dengan dakwaan individu yang mengenalinya.
“Polis juga sedang mengesan beberapa lagi kenalan suspek bagi membantu siasatan.”
Masuk Malaysia guna pas pelajar, suspek bukan penyewa berdaftar di premis terbabit
Ulas beliau lagi, hasil siasatan yang dilakukan juga mendapati lelaki warga asing itu memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar.
Namun pas dan pasport milik warga asing berkenaan dipercayai sudah tamat tempoh dan menjadikan dia tinggal di Malaysia lebih masa.
Tambah beliau lagi, warga asing berkenaan tinggal di pangsapuri di lokasi insiden berlaku, akan tetapi bukan sebagai penyewa berdaftar di premis berkenaan.
“Pangsapuri itu disewa oleh rakannya yang juga warga tempatan,” ujar beliau.
Anggota polis cedera kini dalam keadaan stabil, pergelangan tangan berjaya disambung semula
Sementara itu, beliau turut memaklumkan mengenai keadaan anggota yang cedera itu berada dalam keadaa stabil sebaik pasukan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya menyambungkan semula pergelangan tangannya yang terputus.
Katanya anggota polis itu kini sedang menerima rawatan susulan.
“Syukur, menerusi usaha pasukan perubatan, pergelangan tangan anggota terbabt berjaya disambung semula.
“Beliau kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki warga asing itu pernah memegang pas pelajar dari 2015 hingga 2018.






