
SHAH ALAM – Tindakan kejam seorang pelajar lelaki menikam mati rakan sekolahnya berusia 16 tahun di tandas sekolah tahun lalu dengan 180 kesan tikaman tidak membawa kepada sabitan membunuh selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati dia tidak waras ketika kejadian.
Sebaliknya, tertuduh diarahkan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, berkuat kuasa hari ini sehingga mendapat pengampunan daripada Sultan Salangor.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Adlin Abdul Majid menerima laporan pakar psikologi yang mengesahkan pelajar berkenaan mengalami skizofrenia dan tidak waras ketika menikam mangsa.
Peguamnya, Kitson Foong berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan keadaan anak guamnya memenuhi peruntukan Seksyen 84 Kanun Keseksaan berkaitan ketidakwarasan fikiran atau medical insanity.
“Mahkamah menerima hakikat bahawa penama tidak waras dan mengalami skizofernia ketika menikam pelajar perempuan itu pada waktu dan tarikh kejadian,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Seksyen 84 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa sesuatu perbuatan tidak menjadi kesalahan jika dilakukan seseorang yang akibat ketidakwarasan fikiran tidak berupaya mengetahui sifat perbuatannya atau bahawa perbuatan itu salah atau bertentangan dengan undang-undang.
Kitson berkata, meskipun tidak disabitkan atas pertuduhan membunuh, anak guamnya diarahkan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, berkuat kuasa hari ini.
“Dia akan menjalani rawatan di sana sehingga mendapat pengampunan daripada Sultan Selangor memandangkan kejadian berlaku di Selangor,” katanya.
Menurutnya, keputusan mahkamah turut dibacakan dalam bahasa Mandarin dan difahami pelajar lelaki berkenaan.
Pendakwaan dalam kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Pada 13 Ogos lalu, mahkamah memerintahkan pelajar lelaki itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan selepas 11 saksi dipanggil memberi keterangan.
Untuk rekod, sepanjang perbicaraan berlangsung antara saksi-saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan ialah tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa dan pakar patologi.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (umur ketika kejadian) didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan
Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.
Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, atau selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di sesebuah negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Kes tikam di sekolah: Pelajar tak waras, dihantar ke Hospital Bahagia appeared first on Kosmo Online.





