Kes Tikam Leher Wanita: Polis Berjaya Temui Pisau Rambo Diguna Suspek

20 May 2026 • 1:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kes Tikam Leher Wanita: Polis Berjaya Temui Pisau Rambo Diguna Suspek

KUALA LUMPUR - Polis Kedah berjaya menemui semula sebilah pisau jenis ‘Rambo’ yang dipercayai diguna menikam leher seorang wanita di luar sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, malam Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, senjata tersebut yang berukuran kira-kira enam inci ditemui semalam, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, pisau berkenaan dijumpai di kawasan sawah padi selepas polis dibawa ke lokasi tersebut oleh suspek.

“Penemuan senjata ini merupakan perkembangan positif dalam siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini, kami dimaklumkan bahawa mangsa telah selesai menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil.

“Bagaimanapun, mangsa masih mengalami trauma akibat kecederaan dan berada dalam keadaan lemah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan serius apabila pisau tersebut menembusi lehernya dari kiri ke kanan ketika kejadian berlaku.

Dalam kejadian sekitar jam 9.19 malam itu, seorang wanita berusia 35 tahun diserang lelaki yang dikenalinya di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.

Suspek berusia 32 tahun telah ditahan lebih empat jam selepas kejadian, ketika dipercayai bersembunyi di kawasan berhampiran sebuah masjid di Taman Uda selepas cubaan melarikan diri. - Getaran, 20 Mei 2026