ALOR SETAR – Polis Kedah menafikan dakwaan pihaknya melindungi seorang anggota polis yang dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah di Langkawi seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tindakan menukarkan anggota yang dikenali sebagai ‘Mr A’ ke lokasi lain bukan bermaksud pihak polis cuba menyelamatkan individu terbabit.
Menurutnya, siasatan terhadap anggota terbabit masih berjalan dan polis telah melakukan beberapa serbuan termasuk di rumah serta tempat kerjanya.
“Suka saya ingatkan, kita telah membuat beberapa serbuan terhadap anggota polis terbabit tetapi barangan kes tidak ditemui.
“Kita juga telah melakukan serbuan mengejut sebanyak dua kali di rumah dan tempat kerjanya, namun hasil yang diperoleh adalah negatif,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan laporan media mengenai kemunculan semula satu rangkaian pengedaran dadah yang didakwa beroperasi secara tersusun di sekitar Langkawi selepas kematian ketua sindiket dikenali sebagai Pablo Escobar Langkawi, Mat Nahar, enam tahun lalu.
Sindiket baharu itu didakwa dikendalikan seorang anggota polis dikenali sebagai ‘Mr A’ bersama beberapa individu yang pernah dikaitkan dengan kumpulan Mat Nahar.
Beliau berkata, tindakan pertukaran dibuat serta-merta dalam negeri Kedah dan tidak wujud sebarang layanan istimewa terhadap anggota terbabit.
“Tindakan masih berterusan dan siasatan masih dijalankan malah langsung tiada ‘double standard’,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Adzli memaklumkan seorang individu dikenali sebagai ‘Bagok’ akan didakwa di Mahkamah Langkawi pada Khamis.
Katanya, suspek berusia 47 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada sidang akhbar sama, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah akan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM12.4 juta yang dirampas sepanjang tempoh 14 tahun bermula 2011 hingga 2025 dalam satu operasi di Negeri Sembilan pada Khamis.
Pelupusan yang membabitkan 4,401 kertas siasatan itu akan dilaksanakan di Pusat Pelupusan Pepejal, Bukit Pelanduk dan menjadi pelupusan pertama dilakukan kontinjen Kedah pada tahun ini.






