KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam melepaskan dan membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lepas.
AGC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, rayuan itu difailkan pada 22 September lepas.
"Jabatan ini merujuk kepada keputusan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 September 2026 yang melepaskan dan membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] di akhir kes pembelaan, setelah mahkamah mendapati remaja tersebut berada dalam keadaan tidak waras pada masa kesalahan itu dilakukan.
"Setelah mempertimbangkan keputusan hakim berkenaan, AGC memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut," menurut kenyataan itu.
Pada 14 September lepas, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Dia didakwa membunuh rakan sekolahnya di tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap individu yang berumur di bawah 18 tahun.- Bernama





