Kes tikam pelajar: Remaja diperintah bela diri

13 Aug 2026 • 11:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes tikam pelajar: Remaja diperintah bela diri
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat selepas kejadian tikam di sekolah menengah di Bandar Utama pada Oktober tahun lalu.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki 15 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas mendapati wujud prima facie di akhir kes pendakwaan.

Kes berkenaan dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri pihak pendakwaan, pembelaan dan ahli keluarga, memandangkan prosiding ini termasuk dalam kes juvana.

Peguam, Kitson Foong yang mewakili remaja terbabit berkata demikian ketika dihubungi media.

Beliau berkata, anak guamnya diberi tiga pilihan iaitu pertama, berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan serta kedua, memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara pilihan terakhir, tertuduh juvana itu memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Kitson berkata, anak guamnya kemudian mengambil pilihan kedua, iaitu memberi kenyataan tidak bersumpah.

Beliau kemudiannya meneruskan prosiding bela diri dengan memanggil dua saksi sahaja iaitu tertuduh sendiri dan pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja terbabit layak dibicarakan.

Pelajar itu yang ketika kejadian berusia 14 tahun yang juga pelajar Tingkatan Satu kelas peralihan, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan Nurul ‘Izzati Mohamad.

Sementara pembelaan turut diwakili peguam, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.

Peguam pemerhati pula oleh Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng bagi pihak Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved