
SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pendakwaan kes itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh juvana berusia 15 tahun tersebut.
Sebelum ini mahkamah menetapkan keputusan hari ini, selepas pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya menutup kes dengan saksi pendakwaan terakhir ke-11 iaitu pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Ahmad Zarrin Abd Rashid selesai memberi keterangan.
Untuk rekod, sepanjang perbicaraan berlangsung antara saksi-saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan ialah tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa dan pakar patologi.
Sepanjang prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman.
Remaja lelaki itu identitinya tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya kerana masih di bawah umur manakala sepanjang prosiding ia dijalankan secara tertutup (in camera).
Sebelum ini, mahkamah diberitahu keputusan laporan psikiatri menunjukkan tertuduh layak untuk dibicarakan selain mendapati tertuduh berupaya memahami perkara yang berlaku dalam prosiding mahkamah.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (ketika kejadian) didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.
Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, atau selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di sesebuah negeri.
Pada perbicaraan minggu lalu, Mahkamah Tinggi diberitahu mangsa dalam kejadian itu mengalami sekurang-kurangnya 180 kesan tikaman dan luka hirisan pada bahagian badan.
Pakar patologi forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Koo Zhao Peng, yang juga saksi pendakwaan pertama memberi keterangan mangsa turut mengalami kecederaan pada arteri karotid dan vena jugular, iaitu saluran darah utama. – KOSMO! ONLINE!
The post Kes tikam di sekolah: Pelajar lelaki didakwa membunuh diperintah bela diri appeared first on Kosmo Digital.






