
KUALA LUMPUR - Pelajar lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama tahun lalu, diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh kanak-kanak berkenaan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan kes pendakwaan ditutup selepas saksi ke-11 dan terakhir, iaitu pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Ahmad Zarrin Abd Rashid, selesai memberikan keterangan.
Antara saksi yang dipanggil sepanjang prosiding ialah tiga kanak-kanak, seorang guru sekolah, ibu mangsa dan seorang pakar patologi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Prosiding dijalankan secara tertutup kerana membabitkan tertuduh bawah umur, dengan hanya ahli keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di dalam mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menikam seorang pelajar Tingkatan Tiga di tandas perempuan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama, antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, pada 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak lebih 12 kali jika tidak dihukum mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak ketika kesalahan dilakukan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan hampir 100 bahan eksibit, termasuk pisau yang didakwa digunakan untuk menikam mangsa dan sebuah buku nota berkaitan anime Death Note.
Dalam kejadian itu, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah selepas dipercayai ditikam beberapa kali.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja berkenaan sesuai untuk dibicarakan. - Getaran, 14 Ogos 2026






