
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada minggu lalu, kecoh di media sosial kejadian seorang wanita cedera parah akibat ditikam dalam sebuah kereta jenis Mazda 3 di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, Kedah.
Mangsa yang berusia 35 tahun dan merupakan ibu tunggal dipercayai ditikam oleh kenalan lelakinya yang berusia 32 tahun dalam kereta berkenaan sebelum suspek bertindak melarikan diri.
Walau bagaimanapun, suspek yang bekerja sebagai ejen hartanah berjaya ditahan polis kira-kira 9 kilometer dari lokasi kejadian di kawasan Masjid Taman Uda.
Mahkamah Perintah Ejen Hartanah Jalani Penilaian Psikiatri
Terbaharu, Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini (26 Mei) memerintahkan ejen hartanah yang dituduh melakukan cubaan bunuh ibu tunggal dengan menikam leher mangsa menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
Hakim N. Priscilla Hemamalini memerintahkan sedemikian terhadap tertuduh, Muhammad Ilhami Badaruddin selepas membenarkan permohonan peguam, Mohd. Hakim Hamran yang mewakili Muhammad Ilhami dalam prosiding pertuduhan hari ini.
Mohd Hakim sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu mempunyai masalah mental dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Pihak kami memohon satu perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah diberikan untuk tertuduh mendapatkan penilaian dan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
“Ia berdasarkan alasan-alasan seperti berikut iaitu tertuduh sebelum tarikh dalam pertuduhan sedang mendapatkan rawatan psikiatri berkala di HSB bagi merawat masalah mental,” katanya sewaktu prosiding tersebut.
Peguam Dakwa Tertuduh Ada Ambil Ubat, Hidap OCD & Dengar Suara
Tambah Mohd Hakim, tertuduh juga ada mengambil ubat-ubatan berkaitan penyakit tersebut termasuklah ketika proses reman.
“Tertuduh memaklumkan dia menghidap penyakit kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) selain kadang-kadang mendengar suara-suara.
“Maka, hujahan saya adalah untuk memastikan keadilan kepada pihak-pihak terlibat dengan tertuduh perlu mempunyai tahap mental stabil untuk mengemukakan pembelaan sepanjang perbicaraan berlangsung,” katanya.
Tertuduh Mengaku Tidak Bersalah Atas Pertuduhan Cubaan Bunuh Wanita
Terdahulu, Muhammad Ilhami yang juga seorang duda mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan bunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani menggunakan pisau di kawasan letak kereta sebuah restoran di Titi Gajah, Kepada Batas pada 17 Mei lalu kira-kira jam 9.19 malam.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda manakala jika perbuatan terbabit menyebabkan kecederaan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.
Mahkamah Tak Benarkan Ikat Jamin Terhadap Tertuduh
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin serta Vatchira Wong Rui Fern.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 2 Julai sebagai sebutan semula kes.
Baca Artikel Berkaitan:
Cemburu & Cinta Bertepuk Sebelah Tangan Dipercayai Jadi Punca Lelaki Tikam Wanita Dalam Kereta

