

Polis menyiasat insiden seorang lelaki warga Taiwan maut selepas terjatuh di atas landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, semakan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 31 Mei lalu.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan berseorangan sebelum terjatuh ke landasan itu.
"Polis juga dalam tindakan berhubung dengan keluarga mangsa melalui pihak kedutaan," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang lelaki warga Taiwan maut digilis gerabak LRT selepas dipercayai terjatuh ke atas landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong.
Susulan itu, beberapa tren terpaksa berpatah balik dengan pihak mereka perlu mengaktifkan bas perantara percuma sebagai alternatif.


