
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sebelum ini polis memaklumkan sedang mengesan tiga lelaki yang disyaki menyerang seorang wartawan sukan, Haresh Deol di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur berdekatan sebuah parkir di pusat membeli-belah pada 25 November yang lalu.
Susulan itu, pihak polis telah menahan individu yang disyaki pada 26 November dan direman selama tiga hari.
Ketua Polis Brickfields, Hoo Chang Hook turut mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan suspek seorang lelaki berusia lewat 30-an dan ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah di kediamannya kira-kira jam 2 pagi.
“Suspek kini menganggur, dan motifnya (di sebalik serangan itu) nampaknya bersifat peribadi. Kes itu masih dalam siasatan, jadi kami menggesa semua pihak untuk tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai,” ujarnya, lapor Malaysiakini.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan Sukan Haresh Deol Cedera Diserang, Polis Buru Tiga Lelaki
Polis tak tolak kemungkinan suspek salah sasaran
Terbaharu pihak polis tidak menolak kemungkinan wartawan sukan berkenaan yang diserang oleh sekumpulan individu sebelum ini bukan sasaran sebenar suspek.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika ini siasatan menunjukkan motif insiden itu berpunca daripada masalah peribadi.
“Suspek kata ada gangguan terhadap isterinya, tapi kelihatan (dakwaan) ini lebih kepada peribadi. Tapi nampak macam seperti salah sasaran pun ada.
“Buat masa ini kita tahan seorang sahaja tetapi kita masih menjalankan siasatan lanjut,” jelasnya, lapor Kosmo.
Suspek ada rekod jenayah
Tambah beliau lagi suspek yang berusia 37 tahun itu, mempunyai rekod jenayah dan direman untuk membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Siasatan masih dijalankan. Kita akan aju siasatan ini kepada AGC sama ada tuduh atau tidak tetapi setakat ini, kita akan cadang untuk tuduh.”

