Kes Yayasan Akalbudi: Permohonan Ahmad Zahid, AG Untuk Kebenaran Merayu Didengar 8 Okt

LocalPolitics
8 Jul 2026 • 5:59 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Kes Yayasan Akalbudi: Permohonan Ahmad Zahid, AG Untuk Kebenaran Merayu Didengar 8 Okt

Kes Yayasan Akalbudi: Permohonan Ahmad Zahid, AG Untuk Kebenaran Merayu Didengar 8 Okt

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 Okt ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara (AG) bagi kebenaran merayu terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang membenarkan Majlis Peguam memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan pendakwaan untuk menghentikan kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi, yang mewakili Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan peguam S.Abhilaash yang mewakili Majlis Peguam, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan bahawa permohonan kedua-dua pihak akan didengar secara bersama pada tarikh berkenaan.

Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini yang berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rahimah Rahim.

Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan Majlis Peguam memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan AG pada 4 Sept 2023 yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Majlis Peguam untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Baca juga:

Ahmad Zahid, yang juga responden kedua dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu, telah memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan kebenaran merayu pada 25 Mei lepas.

Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan kebenaran merayu mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Mohd Dusuki, yang memfailkan permohonan berasingan, membangkitkan dua persoalan penting perundangan melibatkan kuasa budi bicara Pendakwa Raya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon agar semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu keputusan permohonan bagi kebenaran merayu itu.

Majlis Peguam pula memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi adalah terbatal serta tidak sah.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat untuk menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti baharu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved