
KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi meneliti semula keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai kanan polis dalam kes kematian pelajar, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, rayuan yang difailkan minggu lalu itu antara lain bertujuan meneliti kemungkinan mengembalikan pertuduhan asal terhadap tertuduh iaitu membunuh.
“Rayuan itu kita nak meneliti segala aspek kes ini. Sama ada perlu hujah atau perlu dikembalikan kepada pertuduhan asal iaitu membunuh,” katanya selepas menghadiri Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 47, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi tiga tahun lalu.
Pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada akhir kes pendakwaan. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 15 Disember 2023. – UTUSAN
The post Kes Zaharif: Peguam Negara teliti pertuduhan membunuh dikembalikan appeared first on Utusan Malaysia.






