KUALA LUMPUR - Polis menafikan membeza layanan terhadap Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy sebaliknya tindakan diambil mengikut prosedur dan lunas undang-undang sedia ada.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, tangkapan awal terhadap Zamri adalah melibatkan kes mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Zamri turut disiasat mengikut Akta Hasutan yang memerlukan tindakan prosedur yang berbeza.
“Kesalahan-kesalahan yang kita tangkap sebelum ini berbeza-beza. Ada yang bailable (boleh dijamin), ada yang tidak boleh dijamin dan sebagainya dalam fasa awal tangkapan melibatkan empat kes di Putrajaya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
"Selain itu, terdapat juga kes yang disiasat di bawah Akta Hasutan yang memerlukan tindakan prosedur yang berbeza,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Khamis.
Mohd Khalid berkata, orang awam mungkin melihat ia satu perkara yang berbeza bagaimapun beliau memberi jaminan ia dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan ia perkara itu sadalah sesuatu yang lumrah dalam undang-undang negara.
Pada Selasa lalu, Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy antara tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen beberapa negeri atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam.
Zamri Vinoth, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur; Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, pula dituduh di Mahkamah Majistret Jawi manakala pemandu e-hailing P Mahendra Bhoopaty, 53, di Mahkamah Majistret Seremban.
Bagaimanapun, Zamri Vinoth dan Arun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu manakala Mahendra Bhoopaty didenda RM4,000 atau dipenjara tujuh bulan, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa.
Mengulas mengenai keberadaan aktivis Tamim Dahri, Mohd Khalid berkata pihaknya mempunyai maklumat beliau berada di tanah suci.
Dalam pada itu, mengulas berhubung penganjuran program Harmoni Madani membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan India, Mohd Khalid berkata, pihaknya menyokong dan amat menghargai komitmen dan semangat perpaduan nasional bagi mencari penyelesaian membabitkan isu sensitif termasuk rumah ibadat.
Katanya, ini kerana sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan polemik awam berkaitan isu rumah ibadat khususnya melibatkan dawaan pembinaan kuil tanpa kelulusan sehingga ada pihak cuba mengambil tindakan bersifat provokatif termasuk menganjurkan himpunan.
“Kita sentiasa memantau dengan teliti beberapa perkembangan yang berlaku sejak kebelakangan ini yang berpotensi menjadi titik panas sehingga membawa ketegangan antara kaum.
“PDRM komited untuk memastikan keamanan dan ketenteraan awam setiasa terpelihara. tapi akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berharap agar sesi dialog itu dapat membuka ruang persepahaman yang lebih luas antara komuniti Melayu dan India supaya setiap isu dapat dibincangkan secara matang dan diselesaikan secara konstruktif.
“Malaysia telah melalui pelbagai cabaran sepanjang sejarahnya namun negara ini kekal aman kerana rakyatnya memilih jalan perpaduan dan kesederhanaan.
“Saya yakin bahawa dialog ini mampu menjadi satu langkah penting ke arah memperkukuhkan keharmonian antara komuniti serta memastikan Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan bersatu,” katanya..
