Kes Zamri Vinoth: Representasi ditolak, bicara bermula April tahun depan

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 12:39 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kes Zamri Vinoth: Representasi ditolak, bicara bermula April tahun depan

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan pendakwah bebas Zamri Vinoth berhubung pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam berkaitan penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Februari lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memaklumkan perkara itu ketika prosiding kes di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan, hari ini.

"Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi dan pihak kami ingin memaklumkan bahawa representasi telah ditolak," katanya.

Peguam Nur Shafiqah Shafiyah Omar yang mewakili Zamri Vinoth kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan, manakala Nur Farhana memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil enam hingga tujuh saksi untuk memberi keterangan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 dan 22 April tahun depan untuk perbicaraan kes itu.

Pada 17 Mac lepas, Zamri Vinoth atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 42, didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di akaun Facebook miliknya "Zamri Vinoth", pada 12.22 tengah hari, 3 Feb lepas.

Kenyataan itu kemudian dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ditemui pemberita di luar mahkamah, Nur Shafiqah berkata pihaknya mengemukakan representasi bagi memohon pertuduhan dikaji semula sekiranya terdapat kebarangkalian untuk penurunan pertuduhan atau sebagainya.

"Jadi, apabila representasi ditolak, pihak pembelaan memohon agar perbicaraan diteruskan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved