
KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menetapkan 21 dan 22 April 2027 sebagai tarikh perbicaraan kes pendakwah bebas, Zamri Vinoth, selepas pihak pendakwaan menolak representasi dikemukakan bagi memohon semakan terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Majistret Faezahnoor Hassan menetapkan tarikh berkenaan pada prosiding hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad memaklumkan mahkamah bahawa representasi terbabit telah ditolak.
Pertuduhan terhadap Zamri, 42, dibuat berkaitan kenyataan didakwa dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, yang boleh menyebabkan kegusaran awam serta menggalakkan orang awam melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kes itu mempunyai kaitan dengan peranannya sebagai penyelaras perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), namun perhimpunan tersebut bukan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Pada 17 Mac lalu, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook ‘Zamri Vinoth’ itu didakwa boleh menyebabkan kegusaran awam serta menggalakkan orang awam melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan tersebut didakwa telah dilihat dan didengar seorang lelaki berusia 45 tahun di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada jam 12.22 tengah hari, 3 Februari lalu.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Representasi telah diputuskan hari ini dan ia telah ditolak,” kata Nur Farhana.
Peguam bela, Nur Shafiqah Shafiyah Omar yang mewakili Zamri kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding, beliau berkata representasi berkenaan dikemukakan bagi memohon pihak pendakwaan menyemak semula pertuduhan termasuk kemungkinan mengurangkan pertuduhan.
“Kami mengemukakan representasi untuk meminta pihak pendakwaan menyemak semula kes ini, termasuk sama ada terdapat kemungkinan untuk mengurangkan pertuduhan atau perkara seumpamanya.
“Jadi, apabila ia ditolak, kami akan meneruskan dengan perbicaraan,” katanya.
Sementara itu, Zamri berkata beliau bersyukur dan melihat keputusan menolak representasi itu secara positif kerana perbicaraan akan memberinya peluang menjelaskan secara terbuka isu berkaitan perhimpunan GARAH.
“Apabila representasi ditolak, ini bermakna saya mempunyai peluang untuk menjelaskan mengenai perhimpunan GARAH supaya rakyat dan masyarakat memahami perjuangan yang kami bawa.
“Apa pun keputusannya, kami akan terus berdiri bersama kedaulatan undang-undang dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk semua pihak,” katanya. - Getaran, 18 September 2026






