
KUALA LUMPUR – Selepas 29 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup kesnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada Hakim Noor Ruwena Md Nurdin selepas saksi terakhir iaitu Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mazery Mohd. Zaini selesai memberi keterangan.
“Pihak pendakwaan menutup kes selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan dan enam saksi pendakwaan ditawarkan kepada pihak pembelaan,” kata Wan Shaharuddin.
Sepanjang prosiding, antara enam saksi pendakwaan itu yang dipanggil ialah bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad dan ahli perniagaan Adam Radlan Muhammad Adam Muhammad.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 November bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis manakala hujahan lisan pihak pendakwaan pada 26 Novemher serta 1 hingga 3 Disember bagi hujahan lisan pembelaan.
Prosiding dihadiri peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad, Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin.
Terdahulu, mahkamah melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang berkaitan dengan sebuah entiti.
Sementara itu, Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, beliau bersyukur selepas dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
“Saya lega dengan keputusan itu kerana sejak awal lagi saya berpendirian tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi sejak Mac 2023. Saya ucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya yang telah membela saya. Alhamdulillah, keputusan itu adalah keputusan yang amat saya alu-alukan,” katanya dan berharap dibebaskan daripada tiga lagi pertuduhan lain. – KOSMO! ONLINE
The post Pendakwaan tutup kes, Muhyiddin syukur bebas empat pertuduhan appeared first on Kosmo Online.






