Kes Zara Qairina: Proses mahkamah jalan terbaik untuk cari kebenaran-Peguam

LocalPolitics
28 Aug 2025 • 2:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Foto kecil: Ram Singh dan Shahlan

KOTA KINABALU - Peguam yang mewakili Noraidah Lamat melihat bahawa inkues merupakan jalan terbaik untuk mencari kebenaran berhubung kematian Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lalu.

Peguam Shahlan Jufri berkata, prosiding inkues adalah antara proses awal yang telah dimohon pasukannya sejak mula mewakili anak guam mereka.

"Memang dari awal lagi kami memohon inkues, bermula dengan permohonan gali semula kubur, bedah siasat dan seterusnya inkues. Inilah yang kami mahukan dan kami juga berhujah tadi supaya inkues ini diteruskan, bukan ditangguhkan.

"Mahkamah akhirnya menerima hujahan kami dan menolak permohonan peguam bela," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelbagai spekulasi yang timbul berhubung kes berkenaan dan akhirnya dibawa ke muka pengadilan untuk mencari kebenaran.

Turut hadir bersama Shahlan termasuk barisan peguam lain iaitu Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh mewakili salah seorang remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak pada 20 Ogos lalu berkata, di mahkamah menerusi prosiding inkues adalah bertujuan untuk mencari fakta.

"Kebenaran itu diperoleh di mahkamah melalui saksi dan proses soal jawab. Pada asasnya, inkues hanya untuk mencari fakta, bukan untuk memperincikan kandungan pertuduhan.

"Ketika ini terdapat dua prosiding, iaitu inkues dan satu lagi kes pertuduhan. Jadi kita berharap kebenaran akan didedahkan. Ini bukan seperti mahkamah jenayah biasa di mana menyoal balas, tidak. Kita cuma mahu mencari fakta sebenar.

"Kebenaran selalunya ada di mahkamah melalui keterangan saksi dan proses soal jawab. Ini untuk mencari fakta yang mengakibatkan sesuatu, kenapa dan apa yang terjadi ketika itu," katanya.

Sebelum itu, Ram yang mewakili salah seorang remaja yang didakwa melakukan secara pro bono bersama dua lagi rakan sepasukannya iaitu Joan Goh dan Elmer Prem Gunasan.

 

 

 

Lagi artikel berkaitan: