MADINAH – "Terima kasih Ya ALLAH". Itulah ungkapan paling tepat menggambarkan rasa syukur seorang orang kurang upaya (OKU) apabila kesabaran menjaga ibunya yang uzur akhirnya dibalas dengan peluang menunaikan ibadah haji pada musim ini.
Peluang menjadi tetamu ALLAH SWT itu disifatkan sebagai rezeki paling bermakna buat Siti Hadijah Abu Bakar, 50, atau mesra disapa Kak Jah selepas sekian lama berkorban menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang.
Menurut Siti Hadijah, dia tidak pernah menyangka diberi peluang menunaikan haji meskipun berdepan kekurangan, namun percaya setiap ketentuan yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
“Kak Jah betul-betul tak sangka boleh sampai ke sini. Mungkin apa yang ALLAH SWT tetapkan itu ada sebabnya.
“Kak Jah hanya menjalankan tugas sebagai seorang anak yang berkhidmat kepada mak sampai akhir hayat.
**media[3498914]**
"Kak Jah tidak mahu apa-apa balasan kerana menjaga mak, biarlah ALLAH yang membalasnya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya lagi, daripada lapan beradik, enam daripadanya termasuk beliau mengalami masalah penglihatan, namun keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Saya memang tidak nampak sejak kecil kerana kami dibesarkan daripada keturunan ibu yang juga mempunyai masalah penglihatan.
“Sekarang saya menjaga mak, dalam masa sama menguruskan lima anak. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya.
**media[3498862]**
Mengulas lanjut, Kak Jah berkata, dia percaya setiap ketentuan ALLAH hadir bersama jalan penyelesaian, termasuk mengurniakan insan yang sanggup membantu sepanjang perjalanan ibadah tersebut.
“Dengan izin ALLAH, Dia utuskan Ustazah Asmah A Samad membantu saya. Tanpa pertolongan beliau, mungkin saya tidak sampai ke sini.
“ALLAH juga tentukan ada insan yang mampu membantu menjadi mata dan telinga saya,” katanya.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada Tabung Haji (TH) atas layanan baik yang diterimanya sejak berlepas dari tanah air sehingga tiba di Madinah.
“Saya ingin ucap terima kasih kepada TH atas layanan yang sangat baik bermula dari berlepas hingga sekarang,” katanya.
Lebih menyentuh hati, perjalanan suci itu turut ditemani seorang insan yang tidak mempunyai pertalian darah, namun hadir sebagai ‘mata dan telinga’ untuknya di Tanah Suci.
Insan itu, Nur Asmah A Samad, 40, merupakan guru besar di Pusat Tahfiz Al-Hidayah, Jalan Gurney, Kuala Lumpur yang juga pusat pengajian anaknya sendiri.
Hubungan yang bermula antara ibu dan guru itu kemudiannya berkembang menjadi persahabatan erat, sehingga membawa mereka bersama ke Tanah Suci.
“Kalau bukan kerana pertolongan beliau, mungkin saya tidak sampai ke sini,” kata Siti Hadijah.
Bagi Asmah, peluang menemani Kak Jah menunaikan rukun Islam kelima juga disifatkan sebagai ketentuan ALLAH.
Dia berkata, hasrat untuk menunaikan haji dipendam sejak 2017 dan hanya dimakbulkan selepas rayuan kali ketiga tahun ini.
“Sejak bawa Kak Jah menunaikan umrah pada 2022, saya sudah berniat jika diberi peluang menunaikan haji, saya mahu bawa beliau bersama.
“Alhamdulillah, rayuan kami diterima dan saya percaya mungkin kerana Kak Jah juga ALLAH buka jalan untuk kami sampai ke sini,” katanya.
Menurutnya, peluang berkhidmat kepada Kak Jah di Tanah Suci adalah nikmat besar yang amat disyukuri.


