Pelantikan Ketua Pembangkang selesai dalam masa terdekat - Ahmad Samsuri

LocalPolitics
4 Apr 2026 • 4:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Samsuri (dua, kiri) bersama empat Menteri Besar di bawah kerjasama SG4 (Perikatan Nasional) iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri), Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud (dua, kanan) dan Perlis, Abu Bakar Hamzah (kanan) merakam gambar sempena Majlis Perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 di Kuala Nerus pada Sabtu.

​KUALA TERENGGANU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta semua pihak agar bersabar berhubung keputusan pelantikan Ketua Pembangkang dalaman gabungan itu yang dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

​Beliau memberi jaminan bahawa perkara yang sedang dibincangkan ketika ini berjalan mengikut proses ditetapkan.

​"Ada beberapa proses yang perlu dilaksanakan, insya-ALLAH. Bersabar sekejap, kita akan selesai dalam waktu yang terdekat," katanya ketika ditemui selepas perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri, di sini pada Sabtu.

​Mengulas mengenai dakwaan wujudnya perbezaan pendapat dalam gabungan itu, Ahmad Samsuri menjelaskan situasi sebenar tidak seperti yang digambarkan.

​Jelas beliau, pihaknya masih mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk membuat pertimbangan sewajarnya memandangkan sidang Parlimen hanya akan bermula pada Jun depan.

​"Ia bukan masalah perbezaan pendapat, tapi saya rasa sidang Parlimen kita pun lambat lagi pada bulan Jun dan kita masih ada banyak masa untuk membuat pertimbangan. Jadi kita tunggu dululah," ujarnya.

​Ditanya mengenai garis masa atau tarikh pengumuman rasmi, Ahmad Samsuri enggan menyatakan jangkaan masa yang spesifik bagi mengelakkan timbulnya spekulasi lanjut.

​"Jangkaan saya tidak boleh nak sebut waktu, kalau sebut waktu nanti orang tunggu waktu itu pula.

​"Jadi kita pergi kepada proses, insya-ALLAH bila selesai semua, kita maklum," katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan pelantikan Ketua Pembangkang di Parlimen masih belum diputuskan dan akan dibincangkan secara menyeluruh dalam kalangan parti komponen PN.

​Katanya, tempoh untuk membuat keputusan tersebut masih panjang memandangkan sidang Parlimen hanya akan berlangsung pada Jun depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved