Kesan Darah Pada Kertas Yang Ditulis Sepadan Dengan DNA Zara Qairina – Saksi

LocalPolitics
7 Oct 2025 • 12:20 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Perkembangan inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang kini memasuki hari ke-18, Mahkamah Koroner diberitahu bahawa kesan darah yang ditemui pada helaian kertas yang mengandungi tulisan tangan Allahyarham sepadan dengan profil Deoxyribonucleic Acid (DNA) milik remaja berusia 13 tahun itu.

Perkara itu disahkan oleh saksi ke-17 iaitu ahli kimia, Nor Aidora Saedon, dari Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya.

Beliau menjelaskan kesan darah itu ditemui pada kertas bertanda Y8, meliputi kawasan Y8 (ii) hingga Y8 (vii) dan pada kertas bertanda Y1, meliputi kawasan Y1 (i) dan Y1(ii) dengan sampel berkenaan dianalisis untuk perbandingan DNA.

Menurut Nor Aidora, kesan darah itu konsisten antara satu sama lain dan padan dengan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang bertanda ‘WK37’ yang berlabel ‘Zara Qairina Binti Mahathir.’

“Ini menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” katanya.

image is not available

Pada prosiding 8 September lalu, peguam Datuk Ram Singh membangkitkan isu berkaitan nota yang ditulis Allahyarham Zara Qairina apabila terdapat kesan kotoran yang dipercayai darah pada bahan kes itu ketika dipaparkan pada sesi prosiding hari ketiga.

Menurut Nor Aidora lagi, profil DNA bercampur, yang terdiri daripada satu penyumbang utama perempuan dan sekurang-kurangnya dua penyumbang minor, diperoleh daripada kesan darah pada kawasan Y8 (i) serta daripada DNA pada beg alat tulis bertanda WK1 (a), buku WK9 dan WK14 serta selimut berlabel WK27.

“Profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang WK37 adalah penyumbang utama dalam sampel campuran ini, manakala penyumbang minor tidak dapat dikenal pasti secara muktamad,” katanya.

Nor Aidora juga menjelaskan bahawa kertas ‘Y1’ dan ‘Y8’ adalah padanan yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Menurutnya, beliau memeriksa beg barang bukti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanda ‘Y8’ dan mendapati di dalamnya sekeping kertas dengan beberapa kesan yang menunjukkan kehadiran darah.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.